Skip to main content

Dunia

Gajah Sumatera ditemukan mati di Aceh

Sumber: BERNAMA
Seekor gajah Sumatera, spesies yang sangat dilindungi di Indonesia, ditemukan mati di kawasan ladang penduduk di Aceh Tengah, dipercayai akibat terkena renjatan kabel elektrik bervoltan tinggi. - Gambar Bernama

JAKARTA: Seekor gajah Sumatera, spesies yang sangat dilindungi di Indonesia, ditemukan mati di kawasan ladang penduduk di Aceh Tengah, dipercayai akibat terkena renjatan kabel elektrik bervoltan tinggi.

Ketua Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Aceh, Ujang Wisnu Barata berkata, bangkai gajah betina yang dianggarkan berusia kira-kira 20 tahun itu ditemukan pada Sabtu, susulan laporan daripada penduduk setempat.

Advertisement

"Gajah itu disyaki mati pada Jumaat malam (20 Feb). Semasa ditemukan, belalai gajah berkenaan masih terlilit pada kabel elektrik," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh BKSDA Aceh pada Ahad.

Gajah Sumatera disenaraikan sebagai spesies dilindungi di bawah undang-undang pemuliharaan Indonesia yang dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, menjadikannya satu kesalahan di bawah undang-undang untuk membunuh, menangkap atau memperdagangkan haiwan berkenaan.

Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), subspesies ini juga diklasifikasikan sebagai Terancam Kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) berikutan penurunan populasi yang disebabkan oleh kehilangan habitat serta konflik manusia-hidupan liar.

Ujang berkata, pihak berkuasa telah memasang garisan polis di sekitar lokasi kejadian untuk mengawal kawasan itu sementara menunggu ketibaan pasukan veterinar bagi menjalankan bedah siasat  dan menguruskan penanaman bangkai gajah itu.

Beliau turut mengeluarkan amaran keras terhadap penggunaan dawai elektrik bervoltan tinggi, dengan menegaskan bahawa amalan sedemikian mendatangkan risiko serius bukan sahaja kepada hidupan liar tetapi juga terhadap keselamatan manusia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video