PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menyerahkan sumbangan dana kemanusiaan Palestin berjumlah RM11.5 juta kepada Wisma Putra.

Dana kemanusiaan itu diserahkan Ketua Setiausaha KPM Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohd Zin ketika mengadakan kunjungan hormat di Wisma Putra di sini.

KPM dalam kenyataan berkata dana itu dikumpul menerusi penganjuran acara Minggu Solidariti Palestin yang telah dilaksanakan di semua institusi pendidikan KPM dan menerusi sumbangan daripada pelbagai pihak.

"Sumbangan diserahkan kepada Wisma Putra selaku kementerian yang bertanggungjawab menyelaras bantuan kerajaan Malaysia kepada Palestin," menurut kenyataan itu.

KPM berkata dalam sesi kunjungan hormat itu, Nik Nasarudin dan Amran turut berkesempatan bertukar pandangan berhubung situasi terkini dan usaha yang dilaksanakan untuk membantu menangani krisis kemanusiaan di Palestin.

"KPM sentiasa bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin serta komited untuk mendidik murid dan seluruh warganya tentang nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia, keamanan dan sifat ihsan," katanya.

-- BERNAMA