KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sesi persekolahan fizikal sebelum institusi pendidikan itu mula dibuka kelak.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, berkata kementerian mempunyai perancangan untuk menambah baik SOP itu selaras dengan keadaan semasa COVID-19 di negara ini.

"Kita memang ada perancangan menambah baik SOP daripada (berdasarkan) apa yang kita pelajari (sesi persekolahan sebelum ini), namun perancangan ini tertakluk kepada situasi pada waktu itu... kita tunggu dan lihat.

"Bila sampai masanya... katalah sekolah nak dibuka, maka kita akan jelaskan apa penambahanbaikan yang kita ingin laksanakan di sekolah," jelasnya dalam sidang media secara maya mengenai Pelan Pemulihan Negara sektor pendidikan pada Selasa.

Dalam pada itu, katanya pematuhan SOP di sekolah berjalan dengan baik sebelum ini, namun kebanyakan kes penularan COVID-19 dikesan berlaku di asrama.

"Kedudukan dalam kelas dan SOP berjalan dengan baik, (namun) cabarannya adalah di sekolah asrama ini... data-data menyumbang kes-kes berlaku di sekolah (banyak kes berlaku di asrama)," katanya.

Beliau berkata, kes yang menular di sekolah harian pula boleh dianggap terkawal kerana pematuhan SOP yang baik.

"Sejujurnya dalam konteks sekolah harian, kebanyakan jangkitan (berlaku) di rumah di mana ayah dan ibu bekerja (mendapat jangkitan)... apabila anak ke sekolah ada berlaku jangkitan dalam kelas.

"Dalam konteks tertentu... cuma dua tiga murid dijangkiti, sebagai contoh... dalam kelas ada 40 orang murid, wabak itu tidak merebak dan menjangkiti semua semua (murid dalam kelas itu)," katanya.