KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedang membangunkan pelan tindakan pembinaan negara bangsa bagi memperkukuh identiti nasional, penghayatan Rukun Negara serta perpaduan masyarakat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah itu menyusuli mandat kepada kementeriannya untuk menerajui Tonggak Pembinaan Negara Bangsa menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurutnya, usaha berkenaan merupakan kesinambungan gagasan yang dipelopori negarawan terdahulu, termasuk Tun Abdul Razak Hussein.
“Blueprint ini akan memperkukuh beberapa asas penting, termasuk pemerkasaan identiti nasional, penghayatan Rukun Negara, pendidikan kenegaraan, pengukuhan perpaduan di peringkat komuniti serta penglibatan generasi muda,” katanya dalam ucapan sempena Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: “Arkitek Pembangunan Negara Bangsa” di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana di sini pada Selasa.
Program anjuran KPN menerusi Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Yayasan Tun Razak itu diadakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Aaron berkata, sumbangan Tun Abdul Razak terhadap perpaduan negara terserlah melalui usaha memulihkan keamanan dan kestabilan selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Katanya, sebagai Pengerusi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), beliau memimpin pentadbiran negara dalam tempoh darurat dengan memberi tumpuan kepada pemulihan perpaduan kaum serta usaha mengatasi ketidakseimbangan sosioekonomi.
Jelasnya, asas itu diteruskan melalui gerak kerja Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), termasuk penglibatan masyarakat menerusi lebih 8,659 Kawasan Rukun Tetangga, 5,507 Skim Rondaan Sukarela dan lebih 1,700 Tabika Perpaduan.
Perkhidmatan mediasi pula melibatkan 595 mediator dan 12 Pusat Mediasi Komuniti, manakala Sistem RAKAN menyediakan saluran kepada rakyat untuk melaporkan isu bagi tindakan agensi kerajaan berkaitan.
Beliau turut menegaskan bahawa Rukun Negara, yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, terus menjadi asas penting pembinaan jati diri rakyat.
“Setelah 56 tahun, Rukun Negara kekal relevan dan terus menjadi kompas dalam membina jati diri serta memperkukuh perpaduan rakyat,” katanya.
Usaha menyemai penghayatan itu bermula seawal usia empat tahun melalui Tabika Perpaduan, diteruskan menerusi Kelab Rukun Negara di sekolah dan diperkasakan di institusi pengajian tinggi melalui Sekretariat Rukun Negara.
Aaron berkata, legasi Tun Abdul Razak turut merangkumi bidang pendidikan dan pembangunan sosioekonomi, termasuk asas sistem pendidikan kebangsaan menerusi Penyata Razak 1956.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) pula memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum serta penyusunan semula masyarakat bagi mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi.
Melalui Rancangan Buku Hijau, beliau turut menekankan peningkatan pengeluaran makanan, penggunaan tanah secara optimum dan penambahan pendapatan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
Sementara itu, Aaron menyifatkan Sri Taman, yang menjadi kediaman rasmi Tun Abdul Razak dari 1962 hingga 1976, sebagai lokasi penting untuk menelusuri legasi kepimpinan negarawan berkenaan.
“Sri Taman bukan sekadar sebuah rumah, tetapi sebahagian daripada ruang sejarah yang menyaksikan perjalanan pemikiran, kepimpinan dan perjuangan seorang arkitek pembangunan negara bangsa,” ujarnya.
Antara pengisian yang diatur ialah sesi pengkisahan oleh anakanda Tun Abdul Razak, Datuk Seri Mohamed Nizam, serta Sesi Bicara Negarawan melibatkan Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak.
Program tahunan itu bertujuan memastikan sumbangan serta pemikiran negarawan terus dikenali dan dihayati oleh generasi masa kini dan akan datang.