Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng tidak pernah menjadi seorang warganegara Malaysia, walaupun beliau dilahirkan di sini.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Chin Peng akan gembira dikebumikan di negara yang paling lama dihuni oleh beliau.

"Walaupun beliau dilahirkan di Sitiawan, beliau tidak pernah menjadi warganegara Malaysia. Beliau tidak pernah mendapatkan kerakyatan (Malaysia) ketika menyertai PKM," katanya kepada Astro Awani.

Dalam laman twitternya juga, Khalid turut mempertahankan kenyataannya.

Sementara itu, pelbagai reaksi diperolehi berikutan kematian, Chin Peng pagi tadi.

Antara reaksi-reaksi tersebut termasuklah dari pemimpin tertinggi DAP iaitu Lim Kit Siang.

Penasihat DAP itu dalam mesej Twitternya hari ini berkata kematian Chin Peng menandakan berakhirnya sebuah era.

Katanya, samada seseorang itu setuju dengan ‘perjuangan’ Chin Peng atau tidak, tempatnya dalam sejarah tetap terjamin.


Sementara itu, ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang dalam laman Twitternya memberitahu supaya jangan menjadikan kematian Chin Peng sebagai satu sambutan kegembiraan.

Jelasnya perbuatan sebegitu bukanlah budaya kita.


Hari ini, Bangkok Post telah melaporkan bahawa Chin Peng, 90 tahun, telah meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 6.20 pagi di sebuah hospital di Bangkok.

Pemimpin parti komunis yang tinggal dalam buangan di Thailand itu, tidak dibenarkan untuk kembali ke Malaysia.

Chin Peng mengetuai pemberontakan gerila PKM dan berjuang menentang British dan tentera Komanwel untuk menubuhkan sebuah negara Komunis bebas.