Pendedahan Kementerian Dalam Negeri terhadap kegiatan pengikut Syiah di negara ini adalah bagi memberitahu orang ramai betapa bahayanya apabila kegiatan tersebut tidak dikawal dari awal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata demikian bagi mengulas pendedahan pemimpin tertinggi sebuah parti yang aktif dengan kumpulan Syiah kepada umum semalam.

“Apabila kumpulan Syiah ini telah menjadi besar mereka akan beralih menjadi militan jadi berlakulah pertempungan Syiah dengan Sunni,“ tambahnya.

Beliau mengulas demikian selepas Majlis Program United Against Crime Through Eyes in the Sky dan penyerahan pangkat kepada 23 pegawai kanan polis di Shah Alam pagi tadi.

Dalam pada itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyarankan semua syarikat swasta dan bank serta taman perumahan yang menggunakan kamera litar tertutup atau CCTV supaya bergabung terus dengan balai polis berdekatan supaya pihak polis dapat memantau keadaan sekeliling.

Setakat ini, sebanyak 666 unit CCTV di pasang di lokasi-lokasi strategik di 15 daerah di Selangor oleh pihak MRCB yang dihubungkan terus ke pusat-pusat kawalan daerah di semua di ibu pejabat polis daerah serta bilik gerakan pihak berkuasa tempatan.