KPT laksana pendekatan penting jamin kedudukan bahasa Melayu seiring perkembangan teknologi

Zambry berkata kolaborasi antara universiti dan industri AI tempatan bagi menghasilkan model bahasa dan aplikasi digital, yang memahami konteks bahasa Melayu juga sedang dijalankan. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu 2023-2030, sedang melaksanakan beberapa pendekatan penting dalam menjamin kedudukan bahasa kebangsaan kekal seiring perkembangan teknologi.
Menterinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata antara pendekatan itu ialah pembangunan korpus digital Bahasa Melayu nasional bagi mengumpul teks, istilah dan frasa Melayu untuk dimasukkan ke dalam sistem AI dan enjin pembelajaran mesin.
Beliau berkata kolaborasi antara universiti dan industri kecerdasan buatan (AI) tempatan bagi menghasilkan model bahasa dan aplikasi digital, yang memahami konteks bahasa Melayu juga sedang dijalankan.
"Selain itu, penubuhan pusat bahasa dan AI di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terpilih untuk menggalakkan penyelidikan linguistik berasaskan teknologi termasuk sintaks, semantik dan pemprosesan bahasa semula jadi atau NLP."Pemerkasaan dasar e-pembelajaran bahasa Melayu termasuk integrasi model bahasa dalam platform pembelajaran pintar dan metasemesta pendidikan tinggi," katanya ketika berucap pada Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.
Zambry berkata Bahasa Melayu berdepan tiga cabaran utama berikutan gelombang revolusi Ai, antaranya kekurangan data linguistik dan korpus besar, dominasi bahasa global seperti Inggeris dan Mandarin serta penggunaan bahasa rojak di media sosial.
Beliau berkata cabaran tersebut akan menyebabkan sistem Ai seperti Chatbot, large languange model (LLM) dan terjemahan automatik kurang memahami konteks Bahasa Melayu, selain pengunaan bahasa ringkas mampu yang menyebabkan kemerosotan struktur dan tatabahasa dalam ruang digital.
"Diharapkan dengan langkah-langkah ini, bahasa Melayu bukan lagi hanya bahasa warisan, tetapi bahasa masa depan iaitu bahasa yang mampu berdiri di ruang digital global dengan martabat dan keindahan tersendiri.
"Saya percaya tidak ada percanggahan antara kemajuan teknologi dan kelestarian bangsa. Kita boleh menjadi negara AI yang hebat, maju tanpa meninggalkan bahasa sendiri," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami