KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyediakan kemudahan kepada semua Ahli Parlimen yang berminat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi laluan Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL).

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Beliau berkata demikian menjawab cadangan Datuk Seri Shamsul Iskandar (PH-Hang Tuah Jaya) untuk mempermudahkan semua Ahli Parlimen yang berpengalaman bagi menjayakan APEL.

"Memang saya mengalu-alukan cadangan YB supaya MQA ini memudah cara dan memberi kerjasama kepada semua Ahli Parlimen yang hendak menjayakan APEL.

"Untuk makluman YB juga, kita di KPT melalui MQA telah melakukan pelbagai kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, serta sudah semestinya kita boleh mengatur satu sesi khas bagi menawarkan laluan ini kepada semua Ahli Parlimen.

"Kalau YB Speker (Dewan Rakyat) dan pentadbiran Parlimen membenarkan, kami juga ingin membuat atau menyediakan kaunter khas. Sebagai contoh hari terbuka kepada Ahli Parlimen yang berminat untuk menyertai atau mengikuti program ini sekiranya diizinkan oleh Parlimen dan Speaker," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata setakat ini Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman antara yang memohon mengikuti kursus APEL.

Mengenai pertanyaan Shamsul Iskandar berhubung sambutan APEL dalam kalangan masyarakat pula,  beliau berkata sepanjang 2021 hingga Mac tahun ini, MQA telah menerima sebanyak 5,737 permohonan untuk menyertai APEL.

Daripada jumlah tersebut,  411 permohonan antaranya daripada sektor seperti kerajaan, badan bukan berkanun, swasta, persendirian serta syarikat berkaitan kerajaan.

Dalam tempoh yang sama, Noraini berkata seramai 1,302 calon telah lulus penilaian APEL A dalam pelbagai tahap kemasukan.

Noraini juga memaklumkan KPT melalui MQA akan menawarkan APEL 'micro-credential' pada penghujung tahun ini.

APEL yang diperkenalkan sejak 2011 ialah laluan alternatif kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan formal untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.