Skip to main content

Malaysia

KPT terus libat urus gubal kerangka baharu perundangan pendidikan tinggi

Dalam usaha merangka akta dan kerangka perundangan baharu bagi pendidikan tinggi negara serta AUKU, saya sentiasa menekankan kepentingan mendapatkan pandangan seluas-luasnya daripada semua kluster dan pemegang taruh dalam ekosistem pendidikan tinggi. kredit: Zambry Abd. Kadir
Zambry menerima kunjungan hormat daripada kumpulan penasihat undang-undang UA yang mempunyai pengalaman luas dalam aspek perundangan, tadbir urus dan operasi institusi. - Gambar Facebook Zambry Abd. Kadir
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus mendapatkan pandangan semua kluster dan pemegang taruh bagi memastikan penggubalan akta serta kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi negara dilaksanakan secara menyeluruh.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata input dan kepakaran penasihat undang-undang universiti awam (UA) amat penting dalam membantu membentuk sebuah akta yang bukan sahaja kukuh dari sudut undang-undang, tetapi juga praktikal dan mampu memenuhi keperluan sebenar ekosistem pendidikan tinggi.

“Proses ini akan terus dilaksanakan secara terbuka, inklusif dan menyeluruh. Setiap pandangan akan diteliti agar kerangka baharu yang dibangunkan dapat memperkukuh autonomi, akauntabiliti, tadbir urus serta kebebasan yang bertanggungjawab di institusi pendidikan tinggi,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Zambry menerima kunjungan hormat daripada kumpulan penasihat undang-undang UA yang mempunyai pengalaman luas dalam aspek perundangan, tadbir urus dan operasi institusi.

Beliau berkata pelbagai pandangan, maklum balas dan cadangan penting berkaitan kerangka perundangan baharu yang sedang dirangka telah diterima oleh pihaknya dalam pertemuan itu.

Ini termasuk perkara yang perlu dipertimbangkan bagi memastikan peralihan dapat dilaksanakan dengan tersusun tanpa menjejaskan kelangsungan pentadbiran dan operasi universiti.

“Terima kasih atas kesediaan berkongsi pandangan dan kepakaran. Insya-Allah, segala input yang diterima akan menjadi sebahagian daripada pertimbangan penting dalam usaha membentuk masa depan pendidikan tinggi negara,” katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement