SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengadakan program bagi menggalakkan rakyat khususnya golongan muda berkahwin sekali gus membantu meningkatkan kadar kelahiran.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya merancang mengadakan program galakan seumpama itu pada tahun hadapan selepas melihat kadar kelahiran yang rendah tahun lepas, seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Insya-Allah pada tahun hadapan kita (KPWKM) akan mengadakan beberapa program berkaitan (galak orang muda berkahwin), selain kita juga akan mengadakan beberapa perbincangan di semua peringkat supaya menggalakkan masyarakat kita (terutama) orang muda kahwin (awal) bagi mendapat zuriat.

"Ia juga bagi memantapkan institusi keluarga (dan mengurangkan kadar perceraian), kita juga mengadakan bulan keluarga setiap November untuk menggalakkan silaturahim," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Immersive Winterland' @ i-City di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan kerjasama sektor awam dan swasta bagi memupuk semangat kekeluargaan dalam masyarakat hari ini.

Nancy berkata kerjasama pihak KPWKM dengan i-City sempena program Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), 'One Shah Alam, One Destination' dilihat sebagai kerjasama baik apabila rakyat Malaysia boleh menikmati diskaun harga rendah bagi pakej aktiviti yang ditawarkan.

"Ini merupakan satu daripada kerjasama awam-swasta yang amat bermakna dalam memupuk semangat kekeluargaa dengan tawaran diskaun buat 100,000 keluarga di seluruh Malaysia dan boleh didapati menerusi laman sesawang web i-City mulai 1 Dis 2023 hingga 31 Mac 2024.

"Diskaun harga rendah ini bukan sekadar memberi kelegaan kewangan kepada keluarga pada musim cuti ini, malah diharapkan menjadi antara cara memperkukuh nilai-nilai keluarga dalam masyarakat kita dengan peluang menyertai aktiviti-aktiviti yang ditawarkan bersama keluarga," katanya.

Menurut Nancy pembukaan Immersive Winterland@i-City juga amat sesuai untuk terapi kanak-kanak autisme yang memerlukan perhatian khusus.

Beliau berkata inisiatif i-City melancarkan Immersive Winterland adalah seiring dengan trend semasa yang memanfaatkan teknologi dalam permainan dan pendidikan kanak-kanak.

-- BERNAMA