KPWKM bakal umum berita gembira untuk OKU sempena Hari OKU

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata beberapa inisiatif baharu sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan pada tarikh berkenaan sebagai 'kejutan khas'. - Foto Facebook Nancy Shukri
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bakal mengumumkan beberapa berita gembira khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sempena sambutan Hari OKU pada 3 Dis ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata beberapa inisiatif baharu sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan pada tarikh berkenaan sebagai 'kejutan khas'.
"Antara perkara yang sedang diperhalusi ialah usaha memperkasa pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara.
"Ada cadangan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi supaya PDK diwujudkan di universiti supaya pelajar memiliki kepakaran seperti mencipta produk yang boleh menyokong keperluan OKU," katanya pada sidang media Majlis Peluncuran Drama Pendek dan Tayangan Perdana Institut Sosial Malaysia (ISM) 2025 di sini hari ini.
Nancy berkata KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa memastikan sokongan kepada OKU bukan sekadar slogan tetapi diterjemahkan dalam tindakan nyata.
Beliau berkata ia termasuk pemberian elaun kepada pekerja OKU bagi menggalakkan mereka terus bekerja dan berdikari serta pelaksanaan Program Jurulatih Pekerjaan sejak 2012 yang telah membantu lebih 1,800 OKU mengekalkan pekerjaan.
Selain itu, beliau berkata latihan kemahiran di Pusat Latihan Pemulihan Perindustrian dan Bengkel Daya turut diberikan bagi membina kemahiran relevan dengan keperluan industri serta rangkaian 580 PDK di seluruh negara yang menjadi pusat intervensi dan pemulihan dalam komuniti.
"Komitmen ini kita kukuhkan melalui CRPD atau Konvensyen Hak OKU yang telah kami ratifikasi, strategi Rancangan Malaysia Ke-13 dan peruntukan RM4.144 bilion untuk KPWKM dalam Belanjawan 2026, dengan lebih satu pertiga daripadanya khusus untuk OKU.
"Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI serius memastikan OKU turut sama menyertai pembangunan negara," katanya.
Nancy turut memaklumkan Akta OKU 2008 juga akan dipinda, dengan beberapa penambahbaikan sedang dikemas kini dan dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen penggal pertama tahun hadapan bagi memperkukuh dasar serta perlindungan kepada komuniti OKU.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


