Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 dapat dilaksanakan sepenuhnya pada September 2017.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihaknya berharap pindaan rang undang-undang itu dapat dibentangkan dalam Dewan Negara yang berlangsung bermula Isnin (18 April) hingga 4 Mei ini supaya pelaksanaannya dapat dijalankan secepat mungkin demi menjamin perlindungan secara holistik kepada kanak-kanak.

"Banyak dalam pindaan rang undang-undang itu yang sebenarnya memberi perlindungan dan penghormatan kepada kanak-kanak. Antaranya sekiranya mereka menyalahi undang-undang, mereka tidak boleh digari dan sel kanak-kanak dalam lokap perlu berasingan dari sel lokap orang dewasa," katanya.

Rohani berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan kerajaan kepada waris penumpang dan kru warganegara Malaysia yang terlibat dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17, di sini Sabtu.

Katanya kementerian juga akan mengeluarkan satu garis panduan dan peraturan supaya pelaksanaan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 itu nanti akan berjalan lancar.

Dalam pada itu, Rohani berkata kementerian akan meminta kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membendung sikap sesetengah pengamal media sosial yang memaparkan gambar kanak-kanak yang menyalahi undang-undang tanpa 'mengaburkan' wajah mereka.

"Muka mereka sepatutnya dikaburkan, kami (kementerian) tidak mahu mereka dilihat di khalayak ramai, ini hak mereka," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pencalonan wanita dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11, Rohani yang juga Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata pihaknya bersyukur kerana setakat ini Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menamakan lima calon wanita yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) untuk kawasan masing-masing.

Mereka terdiri daripada empat penyandang iaitu Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang; Simoi Peri (DUN Lingga); Datuk Fatimah Abdullah (DUN Dalat); dan Rosey Yunus (DUN Bekenu); serta calon baharu Datuk Janet Lau (DUN Pelawan).

Rohani berkata beliau berharap ada lagi calon wanita yang akan bertanding bagi tiga lagi kawasan yang belum diumumkan Adenan, iaitu DUN Tasik Biru, DUN Meradong dan DUN Marudi.

"Memang harapan itu tinggi namun terpulang kepada kebijaksanaan Ketua Menteri untuk memilih calon yang 'winnable' (boleh menang). Kita jangan beri tekanan kepada beliau. Kita akan tetap menyokong sepenuhnya semua calon BN," katanya.