PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bekerjasama bagi menyediakan peluang pendidikan serta biasiswa kepada penghuni Institusi Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang cemerlang dalam peperiksaan.

KPWKM dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu dipersetujui dalam perbincangan kedua-dua kementerian berkenaan pada 8 Julai lepas.

Menurut KPWKM, kedua-dua kementerian itu bersetuju membantu anak-anak JKM yang cemerlang untuk menyambung pelajaran di Institusi-institusi Pendidikan di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"KPWKM melalui JKM sentiasa komited untuk memastikan anak-anak ini mendapat akses kepada pendidikan formal sama ada dengan menghantar mereka belajar di sekolah kerajaan di luar institusi ataupun menyediakan pendidikan dan latihan akademik serta kemahiran dalam institusi," menurut kenyataan KWPKM.

Dalam SPM 2021, dua daripada 120 calon di bawah institusi JKM yang menduduki peperiksaan SPM berjaya mendapat keputusan 6A, dan 11 lagi berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 1A.

Berdasarkan rekod JKM dalam tempoh 2018-2020, terdapat 37 calon di institusi JKM memperoleh sekurang-kurangnya 1A dan ke atas dalam peperiksaan SPM.

"KPWKM akan terus menyediakan dan meningkatkan persekitaran yang kondusif supaya anak-anak di institusi JKM berpeluang mendapatkan pendidikan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA