KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memandang serius dapatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menerima puluhan ribu alamat protokol internet (IP), yang disyaki berkongsi kandungan lucah golongan kanak-kanak di internet.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kes berkenaan memerlukan kerjasama segenap anggota masyarakat, untuk sama-sama mencegah dan melindungi kanak-kanak di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya menerusi agensi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), akan melaksanakan advokasi dan program peningkatan kesedaran kepada ibu bapa, supaya cakna mengenai ancaman dunia siber bersama CyberSecurity Malaysia.

"Banyak lagi kerjasama yang dijalankan bersama Cybersecurity, bagi menyediakan persekitaran siber yang selamat dan kalis ancaman untuk kanak-kanak. Kami akan berkerjasama sebagai satu pasukan.

"Saya dan kementerian akan terus mempergiatkan usaha memastikan persekitaran siber yang selamat, agar kanak-kanak di negara ini tidak terdedah pelbagai risiko di alam siber, termasuk dieksplotasi dan pornografi," katanya dalam kenyataan selepas membuat lawatan ke CyberSecurity Malaysia.

Rina berkata, selain mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), beliau turut mengadakan perbincangan khas melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu Kanak-Kanak di Media Sosial, berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata pertemuan turut diadakan dengan CyberSecurity Malaysia untuk menangani isu tersebut yang perlu ditangani segera secara sistematik, terurus dan terancang.

Bernama sebelum ini melaporkan sejak 2017 hingga Mac tahun ini, PDRM menerima 93,368 alamat IP yang disyaki terlibat melakukan kegiatan itu, daripada sistem perkongsian maklumat yang dianggotai antaranya Polis Antarabangsa (Interpol), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan National Center For Missing and Exploited Children.

Terdahulu dalam lawatan itu, Rina turut melawat Makmal Forensik Digital, Makmal MyCERT dan meninjau CyberSAFE L.I.V.E, iaitu galeri yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai 'Galeri Keselamatan Siber Pertama' di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Ts Amirudin Abdul Wahab dan pasukannya turut menerangkan mengenai pengoperasian agensi berkenaan, yang dilengkapi teknologi terkini.

-- BERNAMA