Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang memantau kes penangkapan seorang lelaki autistik atas dakwaan meraba seorang wanita di Subang Jaya, minggu lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya telah mendapat penjelasan dari ibu lelaki berkenaan bahawa anaknya itu mempunyai kapasiti mental budak berumur 13 tahun.

“Ibunya (lelaki autistik) telah menerangkan kepada kami mengenai keadaan anaknya.

“Kita perlu biarkan mahkamah membuat keputusan untuk memahami keadaan autism apabila mereka sudah membesar,” katanya katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Taska Krista@RedQ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kes penahanan seorang lelaki autistik yang ditahan polis Ahad lepas selepas didakwa memegang dada seorang wanita dewasa di sebuah restoran minggu lepas.

Lelaki berkenaan ditahan selepas mangsa membuat laporan polis pada 11 September lepas.

Kes berkenaan mendapat pelbagai reaksi dari netizen yang turut mempersoalkan tindakan wanita terbabit dan polis.

Polis turut memohon perintah reman terhadap lelaki berkenaan bagi memudahkan siasatan namun ia ditolak Mahkamah Petaling Jaya pada 12 September lalu.

Sementara itu, mengulas laporan mengenai perkahwinan seorang lagi gadis bawah umur di Kelantan, Dr Wan Azizah berkata pihaknya akan menghantar pegawai untuk bertemu dengan gadis dan ibu bapanya.

“Kerajaan sedang dalam proses melaksanakan kenaikan had umur perkahwinan kepada 18 tahun, kita mempunyai undang-undang dan mahkamah Syariah juga perlu patuh kepada undang-undang di peringkat negeri,” jelas beliau.

Media melaporkan hari ini, seorang gadis berusia 15 tahun telah berkahwin dan menjadi isteri kedua kepada seorang anggota Rela berusia 44 tahun yang mempuyai dua orang.

Pernikahan itu diluluskan Mahkamah Syariah dan Akad Nikah telah berlangsung di Masjid Kampung Laut di Tumpat, Julai lalu.

Ibu bapa gadis berkenaan berkata, kemiskinan mendorong mereka untuk bersetuju menikahkan anak perempuan mereka itu dengan lelaki berkenaan.