BEKAS ratu cantik Miss Grand Ukraine dilapor sanggup menyertai tentera negaranya untuk menentang bala tentera Rusia di medan peperangan.

Anastasiia Lenna yang muncul juara dalam pertandingan ratu cantik kebangsaan 2015 mula menjadi tular di media selepas dia memuat naik gambar-gambarnya yang lengkap mengenakan uniform tentera.

Langkah beraninya untuk ke medan pertempuran mempertahankan kedaulatan negaranya itu mendapat pujian orang ramai ketika peluru Rusia bertali arus membanjiri bumi Ukraine.

Menurut sorotan Instagramnya yang bertajuk Airsoft, Anastasiia tidak asing dengan senjata walaupun yang biasanya menembak peluru plastik dan bukannya peluru sebenar.

Gambar-gambar menunjukkan dia mengenakan peralatan ketenteraan penuh berlatarbelakangkan hutan mula tular di beberapa platform sosial media sejak beberapa hari lalu.

Anastasiia turut berkongsi pelbagai kandungan dan kapsyen patriotik di Instagramnya beserta gambar-gambar perang yang lain.

"Tentera kita berjuang sedemikian rupa sehingga NATO harus memohon untuk masuk ke Ukraine," antara kapsyen yang dimuatkan di laman Instagramnya Sabtu lalu.

Malah dia turut memberi amaran kepada tentera Rusia bahawa dia tidak akan teragak-agak membunuh mereka sebaik musuhnya itu melangkah masuk ke sempadan negara.

"Setiap orang yang melintasi sempadan Ukraine dengan niat untuk menyerang akan dibunuh!" kata Anastasiia.

Dia turut mendakwa bahawa setakat ini Rusia telah banyak kehilangan tenteranya sejak pencerobohan berlaku akibat terkorban di medan pertempuran.

Bagaimanapun belum ada sebarang pengesahan daripada Kementerian Pertahanan negara itu berhubung penyertaan Anastasiia bersama tentera Ukraine.