Keunikan dan semangat perpaduan rakyat Sabah dan Sarawak dalam meraikan setiap perayaan harus menjadi contoh bagi memupuk keharmonian dalam kehidupan pelbagai etnik dan kepercayaan di negara ini.

Perayaan Krismas yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau di Dewan Masyarakat Tawau baru baru ini jelas menggambarkan kehidupan yang harmoni apabila ia turut disertai setiap lapisan penduduk tanpa mengira kepercayaan.

Antara aktiviti yang dianjurkan dalam sambutan sepanjang hari itu ialah pertandingan melukis dan mewarna, menghias pokok Krismas, pertandingan live band lagu-lagu Krismas dan diakhiri dengan konsert Krismas.

"Kebiasaannya kita akan merayakan sambutan perayaan bersama-sama. Tak kisah walaupun pandangan agama kita berbeza. Sebagai manusia, kita perlu saling memahami satu sama lain.

"Jadi, sebenarnya, perayaan ini menyatukan kita semua, bukan memisahkan," kata Nurfarah Eliyana, seorang pelajar, antara ribuan penduduk Tawau yang hadir.




Bagi peserta yang menghias pokok Krismas pula, selain meraikan Hari Natal, amalan menjaga kebersihan alam sekitar juga boleh diterapkan kerana bahan yang digunakan untuk menghasilkan pokok itu ialah dari bahan terpakai.

"Sempena meraikan Krismas ini, kami juga menggunakan bahan terpakai untuk menghasilkan sebuah pohon Natal yang indah.

"Selain meraikan perayaan, secara tidak langsung kami juga dapat menjaga kebersihan bandar Tawau bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama," kata seorang guru yang turut mengambil bahagian, Senim Tuan.



Sementara itu, pemimpin masyarakat yang turut hadir memuji sikap keterbukaan penduduk Tawau dalam meraikan bersama apa jua perayaan yang diraikan dinegara ini.

"Inilah sifat-sifat kita yang ada di Tawau. Kita tidak pernah meminggirkan apa-apa pun suku kaum. Kita selalu mahu menjalani hidup bersama supaya kita lebih harmoni.

"Kita tidak pernah merasa sangsi antara satu dengan yang lain. Jadi, inilah fungsi kita. Kita mesti mahu bersama-sama untuk merayakan setiap perayaan yang ada di tempat kita," kata Ahli Parlimen Kalabakan Ma'mun Sulaiman.

Sementara itu, Bahagian Khidmat Rakyat P190 Tawau yang menganjurkan program berpuas hati dengan penyertaan hampir 3,000 orang dari sekitar daerah ini, terdiri dari berbilang etnik dan kepercayaan.

Sambutan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Datuk Hamisah Samat, serta pastor dari gereja-gereja di Tawau.