Kriteria pengecualian bayaran balik PTPTN bagi graduan ijazah kelas pertama disemak semula

Zambry ditemui media selepas Majlis Anugerah Akedemik Bahasa Melayu 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan menyemak semula kriteria pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan ijazah pertama yang memperoleh keputusan cemerlang bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerimanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan menyemak semula kriteria pengecualian bayaran balik PTPTN bagi graduan ijazah kelas pertama, dengan pelaksanaan dasar diberhentikan sementara untuk memastikan ia lebih adil dan telus.
- Semakan melibatkan penyeragaman definisi kelas pertama antara IPTA dan IPTS, serta aspek kualiti dan keutuhan akademik bagi mengelak perbezaan ketara antara universiti.
- Dasar pengecualian akan diteruskan selepas semakan selesai tahun depan, selaras pengumuman Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM90 juta setahun untuk manfaat kira-kira 6,000 peminjam.
"Semakan ini bukan untuk menafikan hak mana-mana pihak... kita akan lihat semula supaya mereka yang benar-benar menepati kategori kelas pertama layak menerima pengecualian bayaran balik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu 2025 di sini hari ini.
Zambry berkata penilaian semula itu turut melibatkan aspek kualiti, keutuhan akademik serta keseragaman terma rujukan bagi memastikan keadilan antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
"Kita tidak mahu wujud perbezaan ketara antara universiti namun mesti ada asas yang kukuh untuk menentukan kelayakan.
"Ini penting kerana terdapat lebih 390 IPTS di seluruh negara maka definisi kelas pertama perlu diseragamkan," katanya.
Zambry berkata bagi IPTA, pemantauan lebih mudah dilaksanakan kerana ia berada di bawah seliaan langsung kerajaan melalui KPT.
Beliau berkata dasar pemberian pengecualian kepada graduan ijazah kelas pertama akan diteruskan selepas proses semakan dan penilaian selesai sepenuhnya tahun depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas mengumumkan kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami