Skip to main content
Advertisement

Malaysia

KTMB tambah 124 perjalanan ETS, EMU Plus sempena musim cuti

71765528732_TBets.jpg
Prestasi cemerlang ETS sepanjang 16 tahun operasinya mencerminkan kepercayaan tinggi pelanggan terhadap kebolehpercayaan sistem pengangkutan rel negara. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan 124 perjalanan tambahan melibatkan 38,944 tempat duduk bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan EMU Plus sempena sambutan Hari Kebangsaan serta cuti persekolahan akan datang.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 100 perjalanan tambahan ETS akan disediakan melibatkan 31,600 tempat duduk bagi tempoh 10 hari operasi iaitu pada 21 hingga 23 Ogos, 28 hingga 31 Ogos serta 4 hingga 6 Sept.

“Kesemua inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha KTMB meningkatkan kapasiti, memperluas pilihan perjalanan serta memenuhi peningkatan permintaan pengguna khususnya sempena musim cuti dan sambutan Hari Kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak 24 perjalanan tambahan EMU Plus dengan keseluruhan 7,344 tempat duduk akan disediakan pada tarikh terpilih antara 21 Ogos hingga 6 Sept termasuk pelanjutan perkhidmatan sehingga ke Bandar Tasik Selatan.

Bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara pula, sebanyak lapan perjalanan tambahan bagi laluan Padang Besar-Butterworth-Padang Besar akan dilaksanakan mulai 27 hingga 31 Ogos menjadikan keseluruhan 46 perjalanan sehari bagi laluan berkenaan.

Menurut kenyataan itu tiket bagi perkhidmatan tambahan berkenaan mula dijual pada 13 Ogos menerusi saluran jualan rasmi KTMB.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata prestasi cemerlang ETS sepanjang 16 tahun operasinya mencerminkan kepercayaan tinggi pelanggan terhadap kebolehpercayaan sistem pengangkutan rel negara.

“Bermula pada 2010 dengan laluan ke Ipoh, perkhidmatan ETS diperluaskan ke Butterworth dan Padang Besar pada 2015 sebelum terus mengorak langkah ke Selatan pada penghujung 2025,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu mencerminkan komitmen KTMB untuk menyediakan perkhidmatan rel yang lebih meluas, selesa dan berdaya saing selain terus meningkatkan kapasiti, kebolehpercayaan perkhidmatan serta pengalaman perjalanan.

Katanya sejak diperkenalkan pada 12 Ogos 2010, ETS merekodkan 44.3 juta penumpang, dengan statistik bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini menunjukkan lonjakan 56 peratus kepada 3.67 juta penumpang berbanding 2.36 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Sempena ulang tahun ke-16 ETS, KTMB turut melaksanakan pelbagai aktiviti penghargaan pelanggan dari 10 hingga 14 Ogos antaranya pemberian baucar dan hidangan KFC, tiket perjalanan percuma serta tawaran diskaun RM16.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement