Kelibat pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li tidak kelihatan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga proses pencalonan ditutup pukul lima petang tadi.

Ketidakhadiran putera raja Kelantan itu dan wakilnya menjawab teka-teki jawatan yang bakal ditandingi Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Beliau yang disebut-sebut mahu mencabar jawatan nombor satu parti, sekadar mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Bahagian yang disandang sejak 1978.

Sumber yang rapat dengan Ku Li menjelaskan, keputusan itu diambil selepas mengambil kira semua pandangan dan keadaan semasa parti tersebut.

"Hasil dari penelitian yang telah dibuat, masih ramai orang Umno masih tidak mahu berubah, sebab itu beliau (Tengku Razaleigh) tidak mahu menawarkan diri untuk bertanding," kata sumber tersebut kepada Astro AWANI.

Ketika pemilihan sebelum ini, Ku Li cuba mencabar Najib untuk jawatan presiden Umno namun tidak mendapat pencalonan cukup untuk layak bertanding.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin bakal mencabar Ku Li untuk jawatan Ketua Bahagian.

Bazlan menegaskan tindakan mencabar jawatan itu adalah atas dasar mahu mengetengahkan perjuangan dan aspirasi golongan muda.

"Saya harap dengan adanya saya sebagai calon untuk melawan Tengku Razaleigh ni bukan bermakna saya tidak menghormatinya tapi saya perlu membuat perubahan.

"Tengku Razaleigh sudah banyak berbakti di Gua Musang, saya cuma mahu meneruskan apa yang dia buat terutama untuk generasi kedua," katanya.

Proses penamaan calon pemilihan Umno 2013 berlangsung serentak di seluruh negara hari ini, menyaksikan buat pertama kalinya kaedah pemilihan baharu yang lebih telus dan demokratik digunakan parti itu.

Proses penamaan bagi semua jawatan termasuk tiga sayap di peringkat pusat akan diadakan di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur manakala peringkat bahagian termasuk tiga sayap di pejabat Badan Perhubungan Umno negeri masing-masing, bermula 8 pagi hingga 5 petang.