Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa memberi asalan kukuh menolak pembinaan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) di Kampung Datuk Keramat.

Pengerusi Penganjur Perhimpunan Aman Himpunan NGO Penduduk Keramat, Norham Shazali berkata DBKL juga seolah-olah mempunyai perancangan tersendiri yang mengetepikan terus hasrat penduduk di sana yang mahu pembinaan perumahan mampu milik untuk mereka.

"Saya dimaklumkan Pengurusan UDA bahawa tawaran mereka untuk membangunkan 100 peratus Rumawip dengan harga tidak lebih daripada RM199,000 seunit di tanah Datuk Keramat iaitu tapak setinggan telah ditolak.

"Mereka memberi alasan ia telah dijual kepada syarikat swasta yang ditubuhkan tidak sampai satu tahun," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Pada Oktober, kira-kira 1,000 penduduk hadir pada perhimpunan aman membantah pembinaan kondominium mewah di Kampung Datuk Keramat.




Surat penolakan pembinaan Rumawip di Kampung Datuk Keramat oleh DBKL - Sumber gambar Norham


Menurut Norham, Ku Nan atau DBKL perlu menjelaskan persoalan tanah yang digazetkan untuk perumahan Prima atau mampu milik ditukar status kepada kondo harga bebas.

"DBKL juga perlu memberitahu mengapa mereka tidak mengambil tindakan kepada pemaju yang tidak ada lesen pemaju memulakan kerja selain menunjukkan lesen kelulusan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan untuk memulakan projek ini.

"DBKL juga perlu telus dan menerangkan adakah pemaju ini ada dalang di belakang mereka di dalam DBKL atau Kementerian Wilayah selain menjawab persoalan mengapa tanah ini tidak ditender kepada syarikat-syarikat agensi kerajaan seperti PRIMA, SPNB, UDA dan Jabatan Perumahan.

"Selain itu, mereka perlu menerangkan alasan yang menjadikan tapak tanah rumah mampu milik yang diperoleh DBKL pada November 2014 dari PTG Wilayah Persekutuan telah dijual kepada pihak swasta kurang enam bulan untuk dibina rumah harga bebas.

"Syarikat itu juga tiada pengalaman dan ditubuhkan kurang daripada satu tahun," tegasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani meminta DBKL melihat semula keperluan tanah berkenaan yang ingin dibangunkan kondominium mewah berbanding perumahan mampu milik yang mengutamakan kepentingan rakyat setempat.

Tegasnya, isu itu semakin meragukan kerana kelulusan diberi kepada sebuah syarikat perumahan yang baharu ditubuhkan.