Kuala Lumpur tersenarai dalam UCCN, diiktiraf sebagai 'City of Design'

Kuala Lumpur kini diiktiraf sebagai City of Design oleh UNESCO, menandakan komitmen DBKL terhadap kreativiti, inovasi dan pembangunan lestari melalui ekosistem reka bentuk yang dinamik. - Bernama
KUALA LUMPUR: Selepas Kuching dan Ipoh, nama Malaysia terus harum di persada dunia apabila Bandaraya Kuala Lumpur kini secara rasmi diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai City of Design.
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, ia merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmen bandar raya ini dalam memajukan kreativiti, inovasi dan reka bentuk sebagai pemacu pembangunan lestari.
Kejayaan tersenarai di bawah Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) itu, katanya lagi, merupakan satu pencapaian penting yang selari dengan usaha global untuk menjadikan kreativiti sebagai asas kepada pembangunan bandar yang mampan.
“Pengiktirafan ini menegaskan komitmen Kuala Lumpur dalam memanfaatkan reka bentuk bagi membentuk bandar yang inklusif, berdaya tahan dan kaya budaya, seiring dengan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 serta aspirasi Warisan KL.
Pengiktirafan ini merupakan hasil usaha bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kerajaan, komuniti kreatif, institusi akademik dan industri reka bentuk yang telah membangunkan ekosistem reka bentuk yang dinamik,” katanya lagi.
Sebelum ini Kuching, Sarawak telah diiktiraf sebagai City of Gastronomy pada 2021 atas kepelbagaian makanan etnik dan warisan kulinari tempatan, manakala Ipoh sebagai City of Music pada 2023, atasi dentiti muzik tersendiri seperti “Ipoh sound” yang berkembang melalui usaha komuniti muzik indie dan lo-fi.
Dalam pada itu DBKL berkata, dengan kerjasama Think City, lebih dua ratus individu telah terlibat dalam proses libat urus selama dua tahun bagi menghasilkan dokumen dossier Kuala Lumpur yang dihantar kepada UNESCO pada bulan Mac 2025.
“Dokumen ini menonjolkan identiti bandar melalui usaha pemuliharaan warisan, pembangunan ruang awam, penubuhan institusi reka bentuk dan penganjuran pelbagai acara kreatif.
“Sebagai City of Design, Kuala Lumpur akan terus menarik pelaburan dan bakat dalam sektor reka bentuk serta ekonomi kreatif, mengukuhkan imej sebagai hab kreatif serantau, memperkukuh dasar perancangan bandar berasaskan reka bentuk dan kesejahteraan komuniti, serta menjalin kerjasama global melalui rangkaian UNESCO Creative Cities Network.
“Reka bentuk akan dijadikan pemangkin utama dalam pelbagai sektor termasuk perancangan, pembangunan, kebudayaan dan komuniti untuk membentuk bandar yang lebih mampan, inovatif dan berdaya huni,” katanya lagi.
DBKL berkata, pengiktirafan itu turut memperlihatkan peranan reka bentuk sebagai pemacu utama pembangunan bandar yang inklusif dan berdaya maju.
Selain itu DBKL berkata, ia akan terus melaksanakan pelan pembangunan berasaskan reka bentuk dalam dasar awam, infrastruktur, pemuliharaan warisan, peningkatan kualiti ruang awam dan pembangunan komuniti bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh warga kota.
Kuala Lumpur kini menyertai rangkaian bandar UNESCO di Malaysia yang merangkumi Tapak Warisan Dunia George Town dan Melaka, bandar kreatif di Ipoh dan Kuching, Langkawi sebagai Geopark Global serta Banjaran Crocker sebagai Rizab Biosfera.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


