Kualiti guru baharu lebih penting dari jumlahnya - Pakar pendidikan

Abdul Halim, berkata kehadiran tenaga pengajar tambahan itu mesti diterjemahkan dalam bentuk keberkesanan terhadap keselamatan serta kesejahteraan ekosistem sekolah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Aspek kualiti perlu menjadi keutamaan dalam pelantikan 10,000 guru dan 500 kaunselor baharu yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada Rabu, bukannya sekadar menambah angka semata-mata.
Pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Abdul Halim Abdullah, berkata kehadiran tenaga pengajar tambahan itu mesti diterjemah dalam bentuk keberkesanan terhadap keselamatan serta kesejahteraan ekosistem sekolah.
Menurut beliau, tumpuan utama perlu diberikan kepada cara pengagihan guru dan kaunselor agar benar-benar membantu sekolah yang berdepan kekurangan tenaga pengajar, khususnya di kawasan luar bandar.
“Mereka ini mungkin akan ditempatkan di kawasan luar bandar, mereka (KPM) mempunyai statistik dan data untuk mengenal pasti sekolah yang memerlukan lebih ramai guru bagi memantau keselamatan murid serta membanteras kes disiplin.“Bagi saya, bukan soal jumlah, tetapi bagaimana pengagihan dilakukan secara bijak untuk mengurangkan beban guru dan dalam masa sama memperkasakan peranan kaunselor di sekolah,” katanya dalam wawancara dalam segmen Pantau Agenda Reformasi di saluran 501 Astro AWANI pada Khamis.
Dalam segmen sama, Abdul Halim turut menyambut baik langkah kerajaan menempatkan anggota polis bagi melakukan rondaan berkala di kawasan sekolah, selain menambah bilangan warden asrama sepenuh masa.
Katanya, kehadiran polis bukan untuk menakutkan pelajar, sebaliknya bagi mewujudkan suasana lebih selamat dan mengekang kes buli.
“Saya pasti PDRM akan meletakkan seorang atau dua anggota polis untuk meronda, itu sahaja sudah cukup untuk mewujudkan rasa selamat dalam kalangan murid yang mungkin berisiko menjadi mangsa buli.
“Dalam masa sama, pelajar yang cenderung menjadi pembuli akan berasa tergugat dan berfikir banyak kali sebelum bertindak,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan tersebut perlu dilihat secara positif kerana polis bukan sekadar bertugas menjaga keselamatan, tetapi juga berpotensi menjadi pembimbing dan penasihat kepada pelajar.
Langkah memperkukuh keselamatan sekolah itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif kehadiran polis di kawasan sekolah bagi menjamin keselamatan pelajar.
Anwar berkata demikian semasa sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan turut mengumumkan pelantikan 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa dalam kalangan personel MySTEP bagi membantu aspek disiplin dan kebajikan pelajar di sekolah berasrama penuh.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan turut mengumumkan beberapa langkah tambahan bagi memperkukuh keselamatan dan disiplin di sekolah.
Antaranya, kerajaan memperuntukkan tambahan sebanyak RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah di seluruh negara.
Smart Support Team di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah pula akan diperkasakan bagi membantu dari aspek psikososial ketika situasi krisis, selain memberikan latihan serta pendedahan berterusan kepada guru untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di sekolah.
KPM juga memberi tumpuan kepada usaha menangani isu disiplin murid dengan memperkukuh peranan pengetua, guru besar dan Jawatankuasa Disiplin sekolah.
Langkah itu termasuk pelaksanaan kuasa mendisiplinkan murid mengikut garis panduan sedia ada seperti merotan, menggantung atau membuang sekolah sekiranya perlu.
Pada masa sama, Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) akan ditambah baik agar digunakan secara lebih proaktif dalam mengurus dan menangani isu disiplin di sekolah. Institusi pendidikan turut diminta memberi perhatian terhadap tindakan susulan yang perlu diambil apabila timbul masalah disiplin di peringkat murid.
Selain itu, KPM menekankan kepentingan mendengar suara guru dan murid dengan mengadakan sesi pertemuan serta dialog di peringkat sekolah.
Inisiatif ‘kotak suara murid’ turut dilaksanakan bagi membolehkan pelajar menyuarakan keperluan dan pandangan mereka, selaras dengan advokasi suara kanak-kanak yang disyorkan oleh UNICEF.
KPM juga akan memuktamadkan Polisi Perlindungan Kanak-kanak (CPP) dalam masa terdekat bagi melindungi murid di sekolah.
Melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), program saringan kesihatan mental untuk murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam akan diperluas, meliputi intervensi dan sokongan psikososial berterusan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami