Kuasa SPR terhad kerana sistem keadilan negara - Pengerusi

Arfa Yunus
Januari 22, 2019 03:38 MYT
Azhar Azizan Harun ketika melawat pusat Pengundian Awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands di Balai Polis Brincang, 22 Jan, 2019. --fotoBERNAMA
Seperti harimau tak bertaring, begitulah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak berupaya mengambil tindakan sendiri ke atas laporan salah laku semasa pilihan raya.
Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, ini disebabkan sistem undang-undang negara sedia ada yang tidak memberi kuasa menyiasat atau mendakwa pesalah laku kepada SPR.
Katanya, jika rakyat mahu undang-undang sedia ada ditukar, tanggungjawab itu terletak di atas bahu Ahli-ahli Parlimen mereka.
"Kita perlu ikut proses siasatan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menentukan sama ada laporan itu sahih, faktanya betul dan sekiranya ia boleh dibawa ke mahkamah.
"Itu sistem keadilan di negara kita dan negara-negara Komanwel. Saya telah melakukan apa yang terdaya seperti memberi maklumat kepada polis dan SPRM selain memberi nasihat dan amaran.
"Jika ada pihak mahu SPR buat lebih lagi seperti membuat tangkapan, mereka sepatutnya menyuruh Ahli Parlimen masing-masing menukar undang-undang ini di Parlimen," katanya pada sidang media di Balai Polis Brinchang hari ini.
BACA: SPR pandang serius dakwaan guna jentera kerajaan untuk berkempen
Menjawab kritikan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang melabel SPR sebagai "rabun" terhadap isu salah guna jentera kerajaan, Azhar berkata pihaknya telah pun melaksanakan pelbagai perkara yang mengikut bidang kuasa suruhanjaya itu.
Tambah beliau, satu-satunya cara bagi SPR membuat tindakan adalah dengan membuat laporan atau memberi maklumat kepada pihak berkuasa agar tindakan lanjut boleh diambil.
"Kalau nak SPR ambil tindakan, kita kena tukar undang-undang sekarang. Ini bukan kerja saya. Ia adalah tugas seorang Ahli Parlimen.
"Jika saya buat perkara yang bukan dalam bidang kuasa saya, itu bermakna saya sudah melanggar undang-undang dan saya boleh ditangkap oleh polis.
"Adakah rakyat mahu saya buat perkara yang salah di sisi undang-undang?" soalnya.
BACA: PRK Cameron Highlands: PH terlebih belanja, BN parti miskin - Annuar
Baru-baru ini Pakatan Harapan (PH) didakwa telah menyalahgunakan kenderaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ketika berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak sebelum ini mengesahkan ada meminjamkan kenderaan Jabatan Perhutanan untuk tujuan rasmi seorang timbalan menteri.
BACA: Jangan salah guna jentera kerajaan untuk berkempen - Fuziah
Menurut Sallehuddin, beliau telah mengarahkan agar ia dipulangkan selepas mendapati bendera PH dilekatkan pada panel pintu kenderaan itu.
Pada sidang media yang sama, Azhar memberitahu, jumlah peratusan keluar undi awal setakat jam 11 pagi hari ini adalah sebanyak 55 peratus yang melibatkan 247 pengundi.

Peratusan keluar mengundi awal dalam #PRKCameronHighlands sehingga jam 11.00 pagi adalah 55% : @sprgovmy @501Awani

— Isabelle Leong (@IsabelleAWANI) January 22, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#ahli Parlimen #Azhar Azizan Harun #jentera kerajaan #Keadilan #kempen #KUASA #penguatkuasaan #pilihan raya #pinda undang-undang #PRK Cameron Highlands #salah guna #salah laku #Suruhanjaya Pilihan Raya