MALAYSIA
Kubur Zara Qairina perlu digali segera - Peguam

Kematian Zara (foto) dikaitkan dengan kejadian buli dan mencetuskan tuntutan siasatan semula serta solidariti awam melalui tanda pagar #JusticeForZara. -Gambar fail/Sinar Harian
KOTA KINABALU: Kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir perlu digali semula dengan segera supaya bedah siasat dapat dibuat untuk menentukan punca sebenar kematian.
Ringkasan AI
- Peguam kepada ibu Zara Qairina menegaskan kubur Allahyarham perlu digali semula untuk bedah siasat menentukan punca sebenar kematian.
- Laporan polis baharu dibuat berdasarkan rakaman perbualan Zara yang mendedahkan gangguan dan ugutan oleh pelajar senior.
- Kematian Zara dikaitkan dengan kejadian buli dan mencetuskan tuntutan siasatan semula serta solidariti awam melalui tanda pagar #JusticeForZara.
"Kubur Zara perlu digali semula dengan kadar segera dan satu bedah siasat dibuat terhadap tubuhnya untuk menentukan punca sebenar kematian dan sama ada wujud elemen-elemen jenayah yang menyebabkan kematian itu.
"Seperti yang kami nyatakan dalam kenyataan media kami pada Jumaat lalu, anak guam kami telah membuat satu laporan polis pada 30 Julai berkenaan rakaman perbualan telefonnya dengan anaknya.
"Di mana Zara memaklumkan bahawa terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu dan atau membulinya sehingga ada yang mengugutnya dengan berkata 'kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni'," katanya dalam kenyataan itu.
Sehubungan itu, pasukan peguam berkata, maklumat itu mungkin mempunyai kaitan dengan maklumat terbaharu yang disalurkan oleh anak guam mereka, Noraidah Lamat, 45, dalam laporan polisnya yang terbaharu pada Ahad.
Sebelum itu, peguam memaklumkan Noraidah telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Sipitang berkaitan lebam di belakang badan Allahyarham Zara Qairina ketika memandikan jenazah di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) pada 17 Julai lalu.
Sebelum itu, Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas kejadian di HQEI.
Kematian remaja tersebut mendapat liputan meluas termasuk di media sosial selepas dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah tersebut dan tercetusnya tanda pagar #JusticeForZara sebagai solidariti supaya siasatan dibuat secara telus dan adil. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami