MALAYSIA
Kucing diracun, dibuang dari tingkat atas - Penduduk Seri Nilam desak siasatan

Antara bangkai kucing ditemui di kawasan awam sekitar kawasan pangsapuri berkenaan sebelum ia tular di media sosial. - Gambar/ Sinar Harian/ Media sosial
AMPANG: Penduduk Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang di sini menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci serta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kejadian penderaan dan pembunuhan kucing jalanan yang berlaku di kawasan perumahan itu.
Ringkasan AI
- Penduduk Pangsapuri Seri Nilam di Bandar Baru Ampang menggesa siasatan terperinci dan tindakan tegas terhadap pelaku penderaan serta pembunuhan kucing jalanan yang didakwa diracun dan dibuang dari tingkat tinggi sejak awal bulan ini.
- Penduduk menyuarakan kebimbangan terhadap kesan kekejaman terhadap haiwan kepada kanak-kanak serta menekankan pentingnya ihsan terhadap makhluk bernyawa, selain menyeru agar pelaku dikenakan hukuman mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menjalankan siasatan awal namun belum mengeluarkan kenyataan rasmi, sementara aktivis kebajikan haiwan turut mendesak DVS agar lebih proaktif dalam menangani isu penderaan haiwan di kawasan perumahan awam.
Rohani Osman, 60, berkata, sebagai masyarakat beragama adalah menjadi kewajipan untuk berlaku ihsan terhadap haiwan, terutamanya kucing yang disebut dalam ajaran Islam.
“Saya anggap kucing ini juga seperti manusia, dia makhluk bernyawa dan disayangi Nabi. Kalau pelaku sanggup buat begitu, memang kejam sangatlah dia,” ujarnya ketika ditemui di Pangsapuri Seri Nilam pada Khamis.
Tambahnya, jika ada penduduk yang terganggu dengan kehadiran kucing, mereka seharusnya menyuarakan masalah kepada jiran atau pihak berwajib dan bukan bertindak membunuh haiwan tersebut.
“Kalau dia marah sangat pun, boleh maklum pada jiran. Jangan terus bunuh. Kalau tak suka, boleh bawa ke pasar atau pusat jagaan haiwan. Jangan kejam,” tegasnya.
Seorang lagi penduduk, Zila Abdul Rahman, 49, menyuarakan kebimbangan terhadap pendedahan kanak-kanak kepada kekejaman terhadap haiwan yang menurutnya boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan emosi dan tingkah laku mereka.
“Kalau anak-anak kecil terbiasa tengok kucing diseksa atau dibunuh, ia boleh bentuk jiwa yang keras. Hari ini kucing, esok-esok takut jadi manusia pula jadi mangsa,” ujarnya.
Dia berharap pihak berkuasa dapat turun padang dan menyiasat kes ini secara menyeluruh agar pelaku sebenar dibawa ke muka pengadilan.
“Penduduk ada yang sudah buat laporan. Jangan tunggu sampai kes jadi lebih besar baru nak ambil tindakan,” tegasnya.
Zie Azhar, 54, turut menyifatkan kejadian tersebut sebagai kejam dan menjijikkan, terutama apabila banyak bangkai kucing ditemui di kawasan awam.
“Kita ada undang-undang. Guna undang-undang itu untuk ajar mereka yang zalim terhadap haiwan. Kalau tidak, kejadian ini akan terus berlaku,” katanya.
Beliau juga mendesak pihak berkuasa termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) agar bertindak lebih cepat dan tidak membiarkan isu ini berlarutan, walaupun jabatan tersebut telah turun padang untuk menjalankan siasatan awal.
Sebelum ini, aktivis kebajikan haiwan, Shima Aris pernah menggesa DVS agar lebih proaktif dalam menangani kes penderaan haiwan, khususnya di kawasan perumahan awam yang melibatkan kucing jalanan.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada DVS mahupun pihak berkuasa tempatan berhubung hasil siasatan atau sebarang tangkapan berkaitan kes berkenaan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami