ALOR SETAR: Kumpulan Aras Niaga Berhad telah memfailkan saman RM310 juta terhadap Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Kedah yang didakwa melanggar perjanjian pajakan tanah yang ditandatangani pada 2020.

Peguam Firhat Muhammad Fikri, yang mewakili Kumpulan Aras Niaga Berhad, berkata writ saman yang difailkan pada 25 Mac lepas itu menamakan SSI Kedah, Pengurus Besar SSI Kedah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah sebagai defendan.

Beliau berkata saman itu difailkan selepas Kumpulan Aras Niaga Berhad diarah menyerahkan kembali tanah seluas 255 hektar di Mukim Semeling, Kuala Muda yang dipajak secara sah sebelum ini kepada SSI.

"Plaintif menuntut ganti rugi akibat mungkir janji terhadap perjanjian tambahan sebanyak RM300 juta dan ganti rugi atas kerja dibuat plaintif dalam melaksanakan projek di tapak berkenaan sebanyak RM10 juta," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aras Niaga Berhad Datuk Muhamad Annas Mohamad Anuar pula berkata pihaknya mempunyai perancangan kerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) bagi membangunkan lombong bijih besi di tapak berkenaan.

Beliau berkata syarikat telah mengeluarkan sejumlah modal bagi mengawal tapak tersebut termasuk melakukan kerja kajian di kawasan itu sebelum membentangkan potensi kegiatan perlombongan bijih besi yang mampu menjana pendapatan kepada negeri.

"Apa yang dikesalkan selepas pembentangan pada Mac 2021, SSI Kedah tidak lagi melayan permohonan kami untuk mendapatkan lesen melombong dan membiarkan status projek ini tergantung malah dalam pertemuan bersama Pengurus Besar SSI Kedah, kami diminta menyerahkan kembali tanah," katanya.

Muhamad Annas berkata mengikut perjanjian, syarikat itu mendapat hak pajakan selama 45 tahun di tapak berkenaan dan mematuhi segala syarat yang ditetapkan bagi memulakan pembangunan lombong bijih besi sehingga peringkat perjanjian tambahan.

"Namun akhirnya kami tidak diberikan lesen melombong dan ia jelas merugikan pihak syarikat," katanya.

-- BERNAMA