ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah menahan 11 lelaki dan tiga wanita yang terlibat dalam aktiviti samun dan kekerasan yang dilakukan di sekitar daerah di negeri itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, penangkapan kesemua individu terbabit dilakukan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dalam Operasi Khas bermula jam 6 petang pada 13 Januari lalu.

“Intipan dilakukan sejak tiga bulan lalu bagi mengesan kumpulan jenayah terancang ini yang aktif melakukan kes samun dan kekerasan.

“Modus operandi mereka ialah mensasarkan rumah-rumah yang terasing jauh, di mana ahli kumpulan ini akan bergerak menaiki kenderaan dan melakukan samun di awal pagi secara berkumpulan dengam bersenjata parang serta mengugut untuk membunuh dan mengambil barangan berharga milik mangsa.

“Laporan diterima polis atas kegiatan jenayah dilakukan kumpulan ini melibatkan kerugian ke atas mangsa hampir RM700,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Wan Hassan berkata, hasil tangkapan polis turut merampas barangan milik mangsa yang terdiri daripada pelbagai jenis telefon bimbit, barang kemas, wang tunai, barangan berjenama, pelbagai jenis senjata tajam dan tujuh buah kenderaan dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan samun.

Susulan itu juga, sepasukan polis, kata beliau, turut menyerbu premis pajak gadai dan merampas kembali barang kemas milik mangsa yang telah dijual di premis terbabit.

Wan Hasaan turut memberi peringatan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap pemilik dan peniaga yang membeli emas hasil daripada samun dan curi yang mana dalam pengetahuan mereka dan ini akan dikenakan tindakan kerana bersubahat.

“Hasilnya polis merampas sejumlah barang kemas dipercayai milik mangsa bernilai RM200,000.

“Semakan rekod lampau, mendapati ada dalam kalangan suspek orang dikehendaki ‘wanted’,” ujarnya.



Jelas Wan Hassan, dengan tertumpasnya kumpulan ini polis berjaya menyelesaikan 21 kes samun yang di laporkan di seluruh negeri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.