KUALA LUMPUR: Jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sejak awal tahun sehingga kini meningkat kepada 13,094 kes, berbanding 4,284 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas, yakni peningkatan sebanyak 8,810 kes, atau 205.6 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan sembilan kematian akibat komplikasi demam turut direkodkan berbading tiada kematian yang dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2022.

"Bagaimanapun jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) keenam tahun ini (5 hingga 11 Feb) menurun sebanyak 8.9 peratus kepada 1,967 kes dengan tiga kes kematian berbanding 2,159 kes pada minggu sebelumnya," katanya.

Menurutnya 86 lokaliti hotspot direkodkan pada minggu ini berbanding 82 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 50 lokaliti berada di Selangor, Sabah (22), di Kuala Lumpur dan Putrajaya (11) dan tiga lokaliti di Pulau Pinang.

Beliau berkata survelan chikugunya pula merekodkan 14 kes pada minggu berkenaan dengan lima kes dari Pulau Pinang, tiga kes di Kedah dan masing-masing dua kes di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya ia menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 86 kes.

"Bagi survelan zika, 284 sampel darah serta satu sampel urin telah dijalankan saringan zika, dan hasil kesemuanya adalah negatif," menurut beliau.

Sementara itu Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya mengambil beberapa langkah perlu sebelum memulakan perjalanan balik kampung atau bercuti semasa cuti persekolahan, agar tiada tempat pembiakan nyamuk di dalam dan persekitaran rumah berikutan peningkatan hujan dalam negara ketika ini.

Antaranya dengan memastikan tiada air bertakung pada alat penapis air dan bekas jambangan bunga, serta menutup rapat bekas penyimpanan air, selain membubuh bahan pembunuh jentik- jentik di dalam pam dan mangkuk tandas.

Beliau berkata orang ramai juga perlu memastikan persekitaran luar rumah mereka bebas dari bekas yang boleh menakung air, contohnya barang hiasan yang boleh menakung air, bekas makanan atau minuman haiwan peliharaan, alas pasu dan alat permainan kanak-kanak.

"Semasa berada di kampung atau tempat percutian, pakai pakaian yang menutup anggota badan sekiranya melakukan aktiviti luar terutamanya pada awal pagi dan lewat petang serta gunakan repelan bagi mengelakkan daripada terkena gigitan nyamuk," katanya.

-- BERNAMA