KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan kuota pengambilan pelajar perubatan di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata kuota yang dibenarkan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah 4,820 orang setahun, namun jumlah siswazah sebenar adalah lebih rendah iaitu kira-kira 4,000 orang setahun.

"Kementerian akan terus kekalkan jumlah yang ditetapkan kerana antaranya permohonan ramai untuk mengambil jurusan perubatan dan kadar (yuran) yang ditetapkan untuk universiti tempatan adalah murah, maka demikian kita sebenarnya melakukan pendemokrasian pendidikan.

"Kita membenarkan ramai memohon untuk ambil jurusan perubatan, kalau kita kurangkan (pengambilan) dalam negara maka sudah tentu ada yang terpaksa ke luar negara dan kosnya sangat tinggi," katanya.

Beliau berkata jika pengambilan pelajar dihadkan bagi jurusan itu, ia akan merugikan negara memandangkan kerajaan telah membuat pelaburan bagi menghasilkan doktor, di samping keyakinan terhadap sistem pendidikan negara untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang itu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Prof Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah yang bertanya mengenai penambahan kuota pelajar perubatan IPT tempatan.

Mohamed Khaled berkata siswazah perubatan dalam negara pada 2020 adalah seramai 2,401 orang, 2021 (3,132) manakala bagi 2022 (3,934 orang).

Katanya antara faktor jumlah siswazah yang rendah adalah kegagalan menamatkan pengajian, menukar jurusan dan lain-lain.

Beliau berkata anggaran siswazah perubatan tempatan bagi tiga tahun akan datang adalah kira-kira 3,934 orang setahun iaitu 2,281 daripada IPT awam dan 1,653 daripada IPT swasta.

Berhubung isu lambakan siswazah perubatan daripada IPT tempatan dan luar negara, Mohamed Khaled berkata isu itu sedang diteliti jawatankuasa peringkat tertinggi diterajui KKM.

-- BERNAMA