MALAYSIA
Kurang kesedaran punca masyarakat tidak lakukan saringan kesihatan - Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditemui media selepas Karnival Minda Sihat, Komuniti Sejahtera DUN Paroi di Masjid Kariah Taman Bandar Senawang hari ini. --Foto Bernama
SEREMBAN: Tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan segelintir rakyat mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan antara punca mereka tidak menjalani pemeriksaan secara berkala, termasuk bagi penyakit tidak berjangkit (NCD), kanser serta kesihatan mental.
Ringkasan AI
- Kesedaran kesihatan rendah: Menteri Kesihatan menyatakan ramai rakyat hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah serius, akibat tahap literasi kesihatan yang rendah dan kurangnya saringan awal bagi NCD, kanser dan kesihatan mental.
- Statistik membimbangkan: Kajian NHMS menunjukkan 1 daripada 3 dewasa menghidap tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi, 1 daripada 6 menghidap kencing manis, dan 50% mengalami obesiti.
- Langkah dan inisiatif KKM: Kementerian Kesihatan mempergiatkan saringan melalui NHSI, Peka B40 dan KOSPEN, serta menegaskan tiada keperluan mewajibkan dos tambahan COVID-19 ketika ini kerana kes masih terkawal.
"Ini sebabnya Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), menekankan lakukan saringan, bukan sahaja NCD, tetapi untuk penyakit kanser dan juga saringan kesihatan mental.
"Ia terkait dengan persoalan literasi kesihatan, mereka tak tahu, tiba-tiba diserang strok, serangan jantung, mereka tak tahu ada kencing manis, darah tinggi, kolestrol tinggi sebab mereka tak pernah menjalani saringan, banyak yang kita lihat sekarang, ada yang berusia lingkungan 30 dan 40 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Minda Sihat, Komuniti Sejahtera Dewan Undangan Negeri Paroi yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zuraida Mohamed di sini hari ini.
Dzulkefly berkata Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) terkini menunjukkan satu daripada tiga golongan dewasa di negara ini menghidap tekanan darah tinggi, satu daripada tiga mempunyai kolestrol tinggi, manakala satu daripada enam menghidap kencing manis, dengan 50 peratus berdepan masalah obesiti.
"Sebab itu, tahap kesedaran terhadap kepentingan saringan itu perlu ditingkatkan, rakyat juga perlu menyambut usaha ini. Kita ada Peka B40, Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN), malah Pejabat Kesihatan Daerah juga ada ... ," katanya.
Sementara itu, beliau berkata kes COVID-19 dalam negara adalah terkawal serta berada di bawah paras amaran nasional, dengan merekodkan purata 600 kes seminggu.
Ditanya keperluan mewajibkan dos tambahan COVID-19, beliau berkata tiada keperluan untuk mewajibkannya ketika ini dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah pencegahan.
"Kita kekal dengan polisi, kalau boleh kumpulan berisiko tinggi terutama yang belum pernah ambil vaksinasi, memang kita bersedia untuk vaksinasi mereka, tapi nak katakan semua (wajibkan dos tambahan) tidaklah kerana itu bukan dasar buat masa ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami