TUARAN: Program Usahawan Dan Koperasi Madani bersempena Pesta Kaamatan menyaksikan tiga Program Pembangunan Usahawan dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) pada hari ini.

Program berkenaan termasuk Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) 9.0, Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP), dan yang terbaru program Pembiayaan BRTani dilancarkan bagi membantu golongan belia di Sabah menjinakkan diri dalam dunia prniagaan selain bertujuan untuk mengembangkan perniagaan bagi perusahaan sedia ada.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, usahawan terutamanya golongan belia di negeri itu diseru agar mengambil peluang untuk mendapatkan pembiayaan di bawah program TUBE, BEEP, dan BRTani yang akan dibuka permohonannya bermula esok.

"Program-program yang diadakan ini bertujuan untuk memberikan geran keusahawanan kepada usahawan-usahawan yang berminat dan bermula 7 Mei permohonan ini akan dibuka dan saya berharap usahawan-usahawan di Sabah memohon pembiayaan ini ataupun geran ini", ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Usahawan Dan Koperasi Madani bersempena Pesta Kaamatan di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli pada Sabtu.

Pada masa sama, Ewon turut berkata, sebanyak RM7.92 juta dalam bentuk pembiayaan perniagaan turut disampaikan kepada 20 usahawan dan koperasi di negeri itu termasuk daerah Tuaran sewaktu perasmian program berkenaan.

"Kita juga telah menyampaikan, pembiayaan , geran dan juga pinjaman kepada 20 usahawan di Sabah khususnya usahawan-usahawan di daerah Tuaran melibatkan jumlah pembiayaan keseluruhan sebanyak RM7.9 juta ringgit dan saya amat yakin geran yang telah kita sampaikan ini dapat membantu usahawan-usahawan yang telah menerima pembiayaan pada hari ini", kata Ewon.

Program Usahawan Dan Koperasi Madani bersempena Pesta Kaamatan yang diadakan di tamparuli pada kali ini bertujuan menyampaikan maklumat mengenai perkhidmatan Keusahawanan Dan Koperasi Melalui Sesi taklimat serta pameran agensi-agensi di bawah KUSKOP.

Dianggarkan lebih 7,000 orang pengunjung turut hadir sepanjang program berkenaan yang diadakan selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad.