Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggalakkan semua ahlinya untuk memberi maklum balas berhubung empat pilihan penambahbaikan terhadap skim sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata semua ahli KWSP diberi masa dua minggu untuk memberi maklum balas, cadangan dan idea terhadap keempat-empat inisiatif yang dicadangkan.

Cadangan tersebut adalah untuk menangani isu-isu berkaitan ketidakcukupan simpanan persaraan di kalangan ahli KWSP dalam jangka panjang.

Empat cadangan tersebut adalah:

* Memberi pilihan terhadap penyelarasan umur Pengeluaran Penuh dengan Umur Persaraan Minimum yang ditetapkan Kerajaan. Tiada perubahan dibuat terhadap pengeluaran pra-persaraan;

* Penyelarasan amaun caruman minimum berdasarkan Gaji Minimum yang ditetapkan di bawah undang-undang berkaitan;

* Melanjutkan bayaran dividen daripada umur 75 sehingga 100 tahun;

* Memperkenalkan simpanan persaraan patuh Syariah sebagai tambahan kepada skim simpanan persaraan sedia ada. Ahli boleh membuat pilihan untuk bertukar kepada simpanan persaraan patuh syariah apabila ia diperkenalkan kelak.



Katanya, KWSP menggunakan kaedah perundingan untuk mendapatkan maklum balas daripada ahli mengenai cadangan tersebut.

"Ini juga merupakan platform yang baik untuk ahli memahami isu dan cabaran berkaitan persaraan mereka," ujar Shahril Ridza.

Ditanya, bilakah KWSP akan menetapkan pelaksanaan salah satu daripada empat inisiatif tersebut, Shahril Ridza berkata pihaknya belum menetapkan garis masa pelaksanaan tersebut.

"Kami mengharapkan maklum balas daripada semua ahli. Sukar untuk kami tetapkan tempoh masa kerana kami perlu meniliti dan menilai setiap pandangan dan cadangan yang ajukan ahli," katanya pada taklimat media di Menara KWSP di sini hari ini.

Selain itu, ahli KWSP juga diminta memberikan pendapat mengenai cadangan memperkenalkan caruman tambahan bagi ahli yang mempunyai gajio di bawah paras gaji minimum bulanan.

Cadangan tersebut bertujuan menangani isu yang dihadapi sebahagian besar pekerja yang dibayar caruman rendah daripada amaun caruman berdasarkan Gaji Minimum yang ditetapkan di bawah undang-undang yang berkaitan.

Tambah Shahril, buat masa ini KWSP belum menetapkan sebarang keputusan mengenai cadangan tersebut.
Justeru, KWSP menggalakkan setiap ahlinya untuk mendaftar menerusi i-Akaun KWSP untuk memberi maklum balas mereka menerusi kajian yang dilakukan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai cadangan dan pilihan di laman web myEPF (www.kwsp.gov.my) mulai Selasa, 21 April 2015.