SHAH ALAM: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan dakwaan tular di aplikasi WhatsApp berhubung krisis tunai yang dihadapi dan ketidakcukupan wang untuk membayar pengeluaran prapersaraan.

Jabatan Hal Ehwal Korporatnya berkata, KWSP sentiasa mengekalkan kecairan yang mencukupi untuk memenuhi semua komitmennya.

“Segala aktiviti jual beli aset luar negara adalah sebahagian daripada operasi pelaburan KWSP mengikut alokasi aset strategiknya, dan bukan untuk membayar pengeluaran prapersaraan.

“Malah, terdapat peningkatan yang stabil dalam keseluruhan pelaburan asing KWSP sejak beberapa tahun yang lepas, walaupun semasa berlakunya krisis COVID-19,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut, pihaknya juga menyangkal spekulasi bahawa Akta KWSP 1991 akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan mereka.

Ujarnya, dakwaan spekulasi itu merujuk kepada rencana sebuah akhbar pada Jumaat yang bertajuk ‘Bank Negara says Malaysian could run out of savings 19 years too soon’.

“Apa yang diketengahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di dalam laporannya ialah situasi yang membimbangkan bagi pesara yang disebabkan oleh isu struktur seperti gaji yang rendah, yang sememangnya wujud sebelum pandemik melanda.

“Keutamaan KWSP dalam perkara ini adalah untuk membina semula simpanan persaraan dan memperluaskan perlindungan kepada mereka yang berada di luar skop semasa Akta KWSP 1991.

“KWSP juga sedang berbincang dengan Kerajaan mengenai pembaharuan yang berpotensi untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang semakin terjejas akibat pandemik,” menurut kenyataan berkenaan.

Tambah kenyataan tersebut, ahli-ahli KWSP lain disarankan agar hanya rujuk kepada berita sahih daripada sumber rasmi, dan bukannya spekulasi melalui media sosial. -Sinar Harian