Skip to main content

Malaysia

KWSP perkenal kemudahan Zakat Perniagaan Simpanan Syariah

KWSP akan bertindak sebagai ejen untuk menyerahkan bayaran tersebut kepada pihak berkuasa zakat negeri berkenaan, berdasarkan negeri tempat ahli bekerja. - Gambar fail/Bernama
KWSP akan bertindak sebagai ejen untuk menyerahkan bayaran tersebut kepada pihak berkuasa zakat negeri berkenaan, berdasarkan negeri tempat ahli bekerja. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memperkenalkan Zakat Perniagaan Simpanan Syariah, satu kemudahan baharu yang membolehkan ahli beragama Islam memenuhi kewajipan zakat ke atas simpanan Simpanan Syariah mereka dengan mudah.

Dalam satu kenyataan, KWSP menyatakan ahli beragama Islam yang mempunyai Simpanan Syariah boleh memilih untuk menyertai kemudahan ini yang membolehkan bayaran zakat tahunan mereka dipotong secara terus daripada dividen Simpanan Syariah selepas pengumuman dividen tahunan.

KWSP akan bertindak sebagai ejen untuk menyerahkan bayaran tersebut kepada pihak berkuasa zakat negeri berkenaan, berdasarkan negeri tempat ahli bekerja.

"Ahli beragama Islam yang tidak memilih menyertai kemudahan ini boleh terus memenuhi kewajipan zakat mereka secara individu manakala ahli bukan Islam tidak tertakluk kepada zakat," jelasnya.

KWSP memberitahu zakat itu terlebih dahulu akan dikira secara kolektif (khultah) bagi setiap tahun kewangan berakhir 31 Disember menggunakan kaedah modal kerja terlaras untuk menentukan asas zakat bagi Simpanan Syariah.

Kadar zakat yang terpakai ialah 2.577 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata kemudahan ini menandakan satu penambahbaikan penting kepada Simpanan Syariah dengan menawarkan cara yang lebih lancar kepada ahli untuk memenuhi kewajipan zakat ke atas simpanan persaraan mereka.

"Bagi ahli yang memilih untuk menyertainya, KWSP mengendalikan proses taksiran dan pembayaran di bawah kemudahan ini sekali gus memberi kejelasan dan kemudahan yang lebih baik sambil membolehkan ahli kekal beri tumpuan untuk membina simpanan persaraan mereka.

"Lebih penting, kemudahan ini mencerminkan komitmen kami untuk terus memperkukuh tawaran nilai Simpanan Syariah melalui penyelesaian yang didasarkan pada tadbir urus syariah yang kukuh serta responsif terhadap keperluan ahli kami,” tambah beliau.

KWSP memaklumkan ahli beragama Islam yang berhasrat untuk menyertai kemudahan ini boleh berbuat demikian melalui KWSP i-Akaun (ahli), terminal perkhidmatan diri atau pejabat KWSP di seluruh negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement