Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperluaskan program Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menjadikan mereka celik kewangan dan mampu merancang persaraan sebaik memasuki alam pekerjaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Bahagian Operasi) KWSP Datuk Mohd Naim berkata RAS adalah perkhidmatan yang diberi secara percuma kepada orang ramai terutama pencarum KWSP.

"Program kesedaran seperti ini penting agar ahli KWSP menabung awal bagi mencapai simpanan asas sekurang-kurangnya RM228,000 sebelum bersara memandangkan rekod KWSP menunjukkan 62 peratus ahli yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada simpanan asas iaitu RM50,000 ke bawah.

"Jumlah simpanan tersebut tidak mencapai tahap simpanan asas bagi menampung kos kehidupan ahli selepas bersara kelak," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri program Celik Kewangan KWSP Melaka di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), IPT pertama yang menganjurkan program itu, dekat sini pada Selasa.

Katanya RAS diperkenalkan pada 2014 seiring dengan peningkatan jangka hayat selain umur persaraan yang dilanjutkan daripada 55 kepada 75 tahun.

Susulan itu KWSP mewujudkan 18 kaunter nasihat persaraan di seluruh negara yang diuruskan oleh pegawai-pegawai terlatih, katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan Melaka Datuk M.S, Mahadevan yang hadir merasmikan program itu, berharap langkah KUIM menganjurkan program sedemikian akan diikuti IPT lain di Melaka.

"Kesedaran merancang awal pesaraan adalah penting agar mereka tahu apa yang perlu dilakukan nanti," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor KUIM Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora pula berkata menerusi program tersebut, pelajar KUIM bukan sahaja memperoleh ilmu kewangan tetapi pendedahan tentang realiti kehidupan di alam pekerjaan yang lebih mencabar.

-- BERNAMA