KEMATIAN seorang remaja berusia 19 tahun di Myanmar selepas ditembak pada kepala ketika menyertai demonstrasi antikudeta pada Rabu mengundang kesedihan masyarakat dunia.

Malah T-shirt tertulis Everything will be OK yang dipakai Ma Kyal Sin sebelum mati ditembak turut menghiasi media sosial seluruh negara sejak beberapa hari yang lalu.

Tinjauan di Facebook Kyal Sin yang membawa maksud bidadari atau nama Cinanya, Deng Jia Xi mendapati, kenalan mangsa memuat naik ucapan takziah selain menyifatkan mendiang mempunyai peribadi yang sangat baik, berani serta murah dengan senyuman.

Malah rata-rata pengikutnya di media sosial itu  mengangkat mangsa sebagai Puteri Demokrasi Myanmar.

"RIP Angel. So Brave! So proud of you," kata salah seorang netizen bernama Bamapyi Thar.

Sementara itu seorang lagi pemilik akaun yang dikenali sebagai Ananda Fitrah memuat naik status: "May God repay your kindness from Indonesia".

"RIP Dear Angel..saya tidak mengenalmu namun dgn apa yg Angel perbuat membuat saya menangis. Kagum dn akan sll mengenangmu betapa kamu pemberani dan sangat mencintai negaramu.. dari kamu saya belajar. Mencintai itu harus berani dan siap dgn segala resiko apa pun itu," kata Helti Mawikere dipercayai dari Indonesia.

Dalam hantaran terakhir pada 28 Februari lalu, Kyal Sin seolah-olah sudah mengetahui 'pemergiannya' apabila meminta supaya organnya didermakan selepas kematiannya.

Remaja itu turut memuat naik status memaklumkan yang dia tergolong dalam kumpulan pemilik darah A.

"Jika ditakdirkan saya pergi, saya dermakan organ saya," kata atlet tae kwan do dan penari dalam hantarannya itu.

Hantaran itu dikongsi lebih 30,000 netizen dan menerima tanda suka lebih 300,000.

Semalam, saluran televisyen tempatan, MRTV melaporkan, pihak berkuasa Myanmar menggali semula kubur Kyal Sin.

Televisyen tempatan itu memaklumkan polis, hakim dan doktor sudah menggali kubur untuk menjalankan bedah siasat terhadap atas mayatnya.

Pihak berkuasa memaklumkan, mereka menemui luka di bahagian belakang kepala dan sekeping timah berukuran 1.2 sentimeter (cm) x 0.7cm di otak dan memberitahu ia berbeza dengan hujung peluru digunakan polis.

Rata-rata netizen menyifatkan hasil siasatan itu sebagai penghinaan terhadap Kyal Sin dan keluarganya dengan tujuan untuk memberikan laporan palsu mengenai apa sebenarnya yang berlaku.