LABUAN: Wilayah Persekutuan Labuan memulakan pemberian vaksin kepada remaja berusia 16 hingga 17 tahun hari ini.

Pemberian vaksin kepada golongan itu di Labuan diatur gerak dan disusun selama dua hari bermula hari ini.

Sebanyak enam buah sekolah termasuk satu sekolah swasta melibatkan lebih 1,400 pelajar terlibat dapat pemberian vaksin fasa pertama hari ini.

Manakala enam buah sekolah kerajaan melibatkan lebih 1,100 pelajar pada esok.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan pemberian vaksin kepada golongan remaja itu yang bermula hari ini.

"Kita menjangkakan sekitar 2,300 ke 2,500 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun akan menerima vaksin bermula hari ini dan esok.

"Selepas itu kita akan membuka kepada golongan remaja yang tercicir atau tidak bersekolah secara 'walk-in' bermula Isnin depan," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan pemberian vaksin di Dewan Kompleks Darul Kifayah, MAIWP Labuan pada Sabtu.



Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Rithuan Ismail.

Selain Dewan Darul Kifayah, sebuah lagi PPV yang dibuka bagi pemberian vaksin golongan remaja ialah Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan.

Antara pelajar sekolah yang terlibat dalam pemberian vaksin hari ini adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan, Sekolah Antarabangsa Labuan dan Sekolah Menengah Sains Labuan.

Ditanya mengenai pemberian vaksin kepada remaja bukan warganegara, Dr Ismuni berkata, golongan itu tidak akan dipinggirkan dalam usaha memastikan semua populasi di Labuan termasuk remaja divaksin.

Dr Ismuni turut mengulas bahawa bekalan vaksin bagi golongan remaja di Labuan adalah mencukupi.

Sementara itu, Rithuan menjelaskan, pihaknya akan melakukan sanitasi di seluruh sekolah sebelum sesi persekolahan dibuka 4 Oktober depan.

"Kita mengambil perhatian serius mengenai persekitaran kesihatan di sekolah. Kita akan membuat program sanitasi di sekolah-sekolah yang dibuka," katanya.