Laporan audit mengenai ladang penternakan babi tidak terkawal di lembangan Sungai Klang dan Sungai Langat membuktikan tuduhan sabotaj yang dinyatakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali tidak berasas.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahril Hamdan, berkata kegagalan kerajaan negeri mengawal kewujudan ladang-ladang babi haram berkenaan menyebabkan air di Sungai Klang dan Sungai Langat tercemar, lalu menyebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang.

"Penemuan audit yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan Ketua Audit Negara membuktikan bahawa gangguan bekalan air sejak kebelakangan ini adalah disebabkan pengurusan kelemahan badan di bawah kerajaan negeri Selangor iaitu LUAS," jelasnya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, "Menteri Besar, Exco dan kerajaan negeri tidak harus menuding jari dengan menuduh ada pihak yang cuba mensabotaj bekalan air di Selangor."

Laporan Ketua Audit Negara Siri Ke-2 menyatakan wujud 132 ladang babi di sekitar lembangan Sungai Kelang dan Sungai Langat berbanding hanya 27 lesen yang dikeluarkan.

Tambah Shahril analisis audit mendapati kualiti air Sungai Klang dan Sungai Langat berada di tahap sederhana tercemar (Kelas III) yang disebabkan pencemaran yang berpunca daripada kegiatan domestik dan perindustrian yang tidak terkawal dan pencemaran ini telah menyebabkan loji-loji rawatan air diarahkan untuk henti tugas.

Ia seterusnya mengakibatkan peningkatan kos dan masa untuk merawat air mentah dan menjejaskan bekalan air kepada penguna.

Tambahnya, kegagalan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk merekodkan bilangan sebenar pemilik atau industri yang perlu dilesenkan hanya membuktikan kelemahan pengurusan kerajaan negeri Selangor.

"Kerajaan negeri bukan sahaja gagal menguruskan sumber bekalan air mentah di Selangor dengan baik, malah kelewatan memuktamadkan pembelian konsesi air di Selangor juga menyebabkan kerugian kepada rakyat Selangor selaku pembayar cukai," ujarnya.

Bulan lalu, Azmin memaklumkan mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan terdapat kecenderungan unsur sabotaj oleh Barisan Nasional dan UMNO berhubung isu pencemaran air di Semenyih, untuk memperlihatkan seolah-olah kerajaan negeri lemah.

Katanya kejadian pencemaran air sungai di negeri ini dilihat seperti bersiri di kala tempoh pilihan raya semakin hampir.