SEREMBAN: Lagak samseng jalanan sembilan penunggang motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Plaza Tol Senawang, di sini menjerat diri selepas ditahan secara berasingan pada Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tangkapan kesemua penunggang itu dibuat sepasukan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman, Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Selatan 1 dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Menurutnya, tangkapan bermula jam 2 pagi itu mengesan kesalahan menunggang secara melulu seperti melawan arus, aksi 'superman' dan ubah suai nombor pendaftaran.

"Kesemua yang ditahan berusia 16 hingga 24 tahun telah dibawa ke IPD Seremban untuk tindakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108(F) akta yang sama.

"Polis turut menyita motosikal terlibat jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha 135LC dan Modenas Kriss," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka ini tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan motosikal sebaliknya datang dari beberapa lokasi seperti Port Dickson dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan selain sekitar Lembah Klang untuk berkonvoi ke kedai makan di Senawang.

Katanya, sepanjang operasi ini, JSPT turut mengeluarkan 101 saman hasil pemeriksaan 60 penunggang motosikal.

Antara penunggang motosikal yang ditahan di sekitar Seremban, pada Ahad.

"Pelbagai kesalahan antaranya tiada nombor pendaftaran, ekzos bising, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, tiada brek dan tiada cermin sisi," ujarnya.

Tegasnya, JSPT menasihatkan penunggang motosikal supaya memastikan undang-undang serta peraturan lalu lintas dipatuhi.

"Polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan dan pemalsuan butiran kenderaan.

"Operasi akan terus dijalankan bagi membendung kegiatan terbabit daripada terus berleluasa," ujarnya. -Sinar Harian