SHAH ALAM: Mesej dan matlamat jelas Pasukan Rasuah Busters mendorong Douglas Lim menerima pelawaan menjayakan klip video Apa Dah Jadi tanpa berfikir panjang.

Pelakon komedi yang terkenal dengan lawak spontan itu berkata, tawaran menyanyikan semula lagu Tan Sri S.M Salim dalam versi memberi nasihat serta teguran kepada masyarakat umum mengenai bahaya rasuah merupakan satu penghormatan buat dirinya.

Beliau yang mula dikenali menerusi sitkom Kopitiam suatu masa dahulu berkata, mesej dan matlamat yang ingin disampaikan oleh Pasukan Rasuah Busters menerusi klip video tersebut adalah sangat jelas untuk menasihati seluruh lapisan masyarakat, sekali gus mendorongnya menerima tawaran tanpa berfikir panjang.

“Pasukan Rasuah Busters bukan calang-calang organisasi yang bertekad memerangi amalan rasuah di negara ini tanpa memilih ‘bulu’.

“Jadi tanpa berfikir panjang, saya terima tawaran ini kerana saya juga mempunyai niat sama untuk membantu membersihkan masyarakat daripada perlakuan jijik ini,” katanya kepada Sinar Harian. Mengulas lanjut, Douglas berkata, bukan mudah untuk dirinya membawa lagu catchy nyanyian S.M Salim itu kerana dirinya bukanlah seorang penyanyi yang berbakat.

Katanya, meskipun pernah merakam album suatu masa dahulu sekitar tahun 1999, namun bakatnya dalam bidang nyanyian masih tidak mampu untuk beliau membawa lagu etnik Melayu itu dengan baik.

“Jika diperhatikan betul-betul, saya banyak ‘terkucil’ ketika membawa lagu Apa Dah Jadi ini kerana ia agak susah. Tetapi pada bahagian korus okeylah boleh buat dengan baik,” katanya.

Beliau yang juga berkebolehan menjadi pengacara majlis berkata, keupayaan bertutur dengan baik pelbagai dialek kaum utama di negara ini digunakan sepenuhnya untuk menghiburkan penonton klip video kempen antirasuah tersebut.

Selain dinyanyikan secara santai dan bersahaja, Douglas turut menyelitkan elemen senda gurau dan berseloroh bagi menceriakan lagi lagu tema tersebut.

Jelas beliau, hasil percubaannya itu berjaya mendapat tempat di hati netizen dan pelayar video Apa Dah Jadi Pasukan Rasuah Busters tersebut.

Douglas memberitahu banyak menerima komen positif yang memuji hasil kerja seninya itu.

Justeru beliau berharap penghasilan video klip antirasuah itu dapat memberi pengajaran berguna dan mendidik masyarakat supaya menolak perbuatan rasuah.

Jelasnya, rasuah bukan sahaja merosakkan jati diri masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sifat jujur dan berintegriti, malah perbuatan jijik itu memusnahkan negara.

Setakat semalam klip video Apa Dah Jadi mendapat 673,000 tontonan di Facebook Douglas, sementara di Instagram beliau pula sebanyak 105,527 tontotan dan di saluran YouTube mencatatkan 154,951 tontonan.



Artikel asal di Sinar Harian.