Parti Warisan Sabah (Warisan) terus memperkemaskan gerakan jentera pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dengan pendekatan lebih santai menggunakan lagu artis tempatan Sabah bertajuk "Pembayaran Ansur-Ansur" bagi menawan hati pengundi di kawasan itu.

Irama lagu ciptaan dan nyanyian asal Thomas Intiang bergema pada hari kedua kempen parti tersebut di sini, yang turut digemuruhkan dengan nyanyian wira dan wirawati Warisan.

Lirik lagu yang sangat popular di Sabah sekitar tahun 90-an itu diubah suai dengan menerapkan lirik menarik yang sarat dengan mesej kempen pilihan raya selain bait lirik memujuk rakyat Kimanis mengundi calon nombor dua iaitu calon Warisan Datuk Karim Bujang.

Antara bait lirik menarik dalam lagu itu yang pastinya menggamit pengundi ialah:

"Kalau mahu senang undilah Warisan,
Kalau mahu maju undilah Karim Bujang,
Undilah Parti Warisan..."

Bait lirik itu baru diubah suai pagi Ahad oleh artis tempatan Sabah yang menjadi penyokong Warisan, Abu Bakar Ellah yang lebih dikenali dengan nama Ampal, bersama rakan artisnya Francis Landong, atas idea Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony.

Ahli Warisan lain turut menyumbangkan idea dalam mengubah suai lirik lagu itu, kata Abu Bakar ketika memperkenalkan lagu itu sebagai lagu kempen Warisan sebelum ketibaan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah pada pelancaran cawangan Warisan di Kampung Kelatuan, dekat sini.

Abu Bakar dan Francis kemudian mengajak Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah untuk menyanyikan lagu kempen itu diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah dan Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis.

Turut mencuri tumpuan apabila lagu itu dinyanyikan Mohd Shafie setelah selesai majlis itu bersama barisan pemimpin kanan Warisan.

PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Karim, 67, yang dicabar calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

-- BERNAMA