MALAYSIA
Lakukan ujian psikometrik ke atas anak seawal usia tiga tahun tangani isu buli - Penganalisis

Murid-murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sebuah sekolah rendah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ujian psikometrik boleh dilakukan seawal usia tiga tahun untuk mengenal pasti sekiranya seseorang mempunyai kecenderungan melakukan buli.
Ringkasan AI
- Ujian psikometrik seawal usia tiga tahun boleh digunakan untuk mengenal pasti kecenderungan membuli dan melaksanakan intervensi awal tanpa melabel kanak-kanak. Peningkatan statistik kes buli menunjukkan kesedaran ibu bapa semakin tinggi untuk melaporkan insiden, bukan semata-mata peningkatan kejadian buli. Isu buli semakin mendapat perhatian nasional susulan beberapa kes serius termasuk kematian Zara Qairina dan insiden buli yang melibatkan pelajar sekolah di pelbagai negeri.
“Kalau kita gunakan ujian psikometrik seawal usia tiga tahun, kita sudah boleh kesan jika seorang kanak-kanak mempunyai kecenderungan ke arah berkelakuan tidak baik.
“Ujian ini bukan untuk melabel, sebaliknya untuk melakukan intervensi awal supaya sikap tidak baik ini tidak berlarutan agar boleh dibetulkan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Dalam pada itu, Profesor undang-undang keluarga, wanita dan kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal pula berpandangan peningkatan kes buli yang dilaporkan perlu dilihat dari sisi yang positif.
Beliau mengakui, isu buli perlu ditangani dengan baik, pun begitu dalam konteks pelaporan statistik, angka semasa menunjukkan kesedaran ibu bapa untuk melaporkan insiden buli yang melibatkan anak-anak.
“Kalau kita tengok data, pada tahun 2015 kita ada 3,011 kes buli. Kemudian ia meningkat pada tahun 2016 kepada 3,488. Tetapi pada tahun 2023, kes buli 5,319 kes. Maknanya, bilangan kes yang tinggi.
“Saya selalu sebut, peningkatan kes yang dilaporkan bukan bermakna kes semakin menjadi-jadi. Sebaliknya, peningkatan ini bermakna semakin ramai orang yang sedar dan buat aduan, seterusnya tindakan diambil,” ujarnya.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merekodkan sebanyak 6,208 kes buli melibatkan pelajar sekolah sehingga Oktober 2024 melalui sistem Sahsiah Diri Murid (SDM).
Isu buli menjadi hangat berikutan kematian Zara Qairina pada 17 Julai lalu yang membawa kepada pertuduhan ke atas lima remaja atas dakwaan buli, dan akan dibicarakan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah.
Isu berkenaan semakin mendapat perhatian susulan beberapa kejadian sama dilaporkan media. Antara lain, pada hari ini polis mengesahkan sedang menyiasat insiden buli melibatkan dua pelajar Tingkatan Empat yang didakwa 'menghukum' lebih 20 pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah asrama di Sungai Udang.
Manakala pada Isnin, dilaporkan ibu kepada seorang murid lelaki berusia 10 tahun dari Johor Bahru mendakwa anaknya yang menghidap kanser hidung, kini menderita akibat gegaran otak selepas menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama Februari lepas.
Agenda AWANI: Hentikan buli, elak tragedi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami