IPOH: West Coast Expressway Sdn. Bhd (WCESB) menyasarkan empat lagi seksyen Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan beroperasi hujung tahun ini.

Ketua Operasi Lebuh Raya WCE Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata ia melibatkan Seksyen SKVE, Banting, Assam Jawa dan Taiping Selatan.

Syed Muhd Naguib berkata bagi pembinaan Seksyen 11 iaitu dari Beruas ke Taiping Selatan yang melibatkan laluan 35.5 kilometer (km) setakat ini sudah siap 88 peratus dan dijangka boleh beroperasi hujung tahun ini.

"Pembinaan kini melibatkan elemen kejuteraan, tol, kerja-kerja pembinaan cerun dan kerja-kerja mekanikal," katanya pada sidang media selepas sesi libat urus WCESB bersama media negeri Perak di sini hari ini.

Syed Muhd Naguib berkata oleh kerana laluan berkenaan yang turut melalui Hutan Simpan Bubu, WCE akan turut membina pembetung kekotak haiwan sebagai satu langkah untuk pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem.

"Ini bagi membolehkan apa sahaja perhubungan di antara haiwan-haiwan ini dapat dikekalkan susulan daripada pembinaan lebuh raya di kawasan itu," katanya.

Katanya jajaran itu juga akan menyediakan dua hab kemudahan mengecas kenderaan elektrik (EV) iaitu di Lekir dan Teluk Intan.

Sementara itu, Syed Muhd Naguib berkata jumlah kenderaan yang menggunakan WCE kini meningkat sehingga 30 peratus iaitu 50,000 hingga 60, 000 kenderaan sehari.

"Pada Aidilfitri baru-baru ini, aliran trafik mencapai jumlah tertinggi iaitu 100,000 kenderaan sehari dan 85,000 pada Aidiladha lalu," katanya.

Terdahulu, dilaporkan WCE bagi jajaran Selangor dan Perak dijangka siap secara sepenuhnya pada 2025.

Lebuh raya merentasi Selangor dan Perak sejauh 316 km dibina di sepanjang pesisiran pantai barat Semenanjung di bina untuk kemudahan penduduk setempat dan pengguna lebuh raya ke utara.

-- BERNAMA