SIBU: Operasi Selamat (Op Selamat) yang bermula semalam hingga 28 Dis di Sarawak sempena perayaan Krismas bukan hanya memberi tumpuan kepada keselamatan pengguna di jalan raya di negeri itu, malah turut melibatkan pengguna pengangkutan sungai.

Operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak itu bertujuan memastikan keselamatan orang ramai semasa dalam perjalanan balik bercuti ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Krismas dan bersempena cuti sekolah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Ibrahim Darus berkata 750 pegawai dan anggota daripada pelbagai cawangan dan jabatan terlibat dalam operasi itu, yang turut akan memastikan rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat.

"Lokasi tumpuan operasi ialah jalan-jalan Persekutuan, negeri dan bandaran terutamanya di kawasan kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas. Turut diberi tumpuan ialah laluan sungai di Sibu, Kapit, Song, Belaga, Kanowit, Tatau serta lain-lain daerah yang masih menggunakan laluan sungai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Op Selamat sempena Krismas di sini yang turut dihadiri Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili dan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili.

Ibrahim juga mengingatkan orang ramai yang hendak balik bercuti ke kampung halaman dan meninggalkan kediaman masing-masing supaya mengisi borang balik kampung yang boleh dimuat turun di laman sesawang PDRM atau portal trafik PDRM.

Sementara itu, Norizan berkata JPJ akan membuat pemeriksaan dari aspek teknikal dan fizikal ke atas bas ekspres yang beroperasi di seluruh Sarawak bagi memastikan kenderaan tersebut sentiasa berada dalam keadaan selamat digunakan.

"Pengusaha bas perlu memastikan bas mereka sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. JPJ Sarawak akan memastikan pemeriksaan ke atas bas dilakukan sebelum kenderaan itu bergerak ke destinasi ditetapkan," katanya.

Beliau berkata Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut terlibat dalam operasi itu untuk memastikan pemandu bas bebas daripada pengaruh dadah.

-- BERNAMA