IPOH: Laluan di Jalan Persekutuan FT059 Tapah-Ringlet yang ditutup sebelum ini akibat kejadian tanah runtuh pada bulan lepas, dibuka sepenuhnya untuk semua kenderaan bermula pukul 5 petang ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, memaklumkan mengenai pembukaan laluan itu dalam satu notis pemberitahuan menerusi Facebook rasminya hari ini.

Bagaimanapun notis itu memaklumkan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menggunakan jalan berkenaan, terutama ketika musim hujan.

Pada 22 Nov lalu, kejadian tanah runtuh mengakibatkan laluan di Batu 25 dan Batu 26 Jalan Tapah-Cameron Highlands, terhalang.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail dilaporkan berkata kejadian itu diterima pada pukul 4.25 petang, mengakibatkan laluan kedua-dua hala terpaksa ditutup kepada semua kenderaan.

-- BERNAMA