JOHOR BAHRU: Seramai 145 pengunjung termasuk seorang penjaga premis di sebuah pusat hiburan di Johor Bahru dikompaun berjumlah RM145,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dalam serbuan pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kompaun bernilai RM1,000 dikeluarkan kepada setiap pesalah yang terdiri 135 warga tempatan dan 10 warga asing dalam operasi Op Hiburan itu.

Katanya, hasil maklumat awam dan risikan  mendapati operasi pusat hiburan berkenaan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN fasa 4 2021, yang masih lagi dikuatkuasakan ketika ini.

Selain itu semua pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi meskipun negara telah memulakan Fasa Peralihan Ke Endemik, 1 April lalu.

"Tindakan kompaun kepada mereka yang berada dalam keadaan begini, memang tidak ada penjarakan langsung di sini dan juga memang tak dibenarkan aktiviti pusat hiburan sehinggalah 15 haribulan seperti yang telah diwar-warkan kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, hasil saringan air kencing, seorang wanita dan tiga lelaki didapati positif dadah jenis ketamin dan benzo.

Empat individu itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam serbuan sama, polis menahan seorang wanita berumur 43 tahun kerana mempunyai rekod dikehendaki polis berkaitan kes narkotik.

Turut dirampas, pelbagai peralatan elektronik berkaitan hiburan bernilai RM20,000.

Kesemua mereka, berumur antara 17 hingga 50 tahun yang ditahan menerusi Op Hiburan itu, telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Johor Bahru Selatan bagi proses dokumentasi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan Negeri Johor dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021.