KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini bagi memberi keterangan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), Selasa lepas.

Tajuddin tiba di IPD Dang Wangi pada kira-kira 4.45 petang dengan menaiki kereta Mercedes Benz berwarna perak dan selesai memberi keterangan kira-kira sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.

Selasa lepas, Tajuddin pada sidang media di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC berhubung pertembungan dua tren LRT dilihat hanya mengenakan pelindung muka, dan tidak memakai pelitup muka seperti yang diwajibkan dalam SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Pasir Salak itu disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

BACA: COVID-19: Polis buka kertas siasatan dakwaan Tajuddin tidak pakai pelitup muka

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut hadir ke IPD berkenaan pada kira-kira 12.30 tengah hari tadi selepas dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya di Twitter yang mempersoalkan Tajuddin hanya memakai pelindung muka tanpa pelitup muka dalam sidang media itu.

Mohamad Zainal turut mengesahkan Syed Saddiq memberi keterangan selama kira-kira dua jam sebagai saksi kes berkenaan.

Turut hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan ialah tiga kakitangan Prasarana.

"Secara keseluruhannya sebanyak lima keterangan diambil pada hari ini iaitu kenyataan Tajuddin, Syed Saddiq dan tiga kakitangan Prasarana bagi tujuan siasatan kes ini," katanya.

-- BERNAMA