LANGKAWI: Pihak polis akan menjalankan siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, ia susulan satu video yang dimuat naik di akaun Facebook Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, yang memaparkan Ahli Parlimen Langkawi itu tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan suhu badan ketika menghadiri satu majlis di Langkawi.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati, kejadian itu berlaku di Surau Raudhatul Jannah, Kuala Teriang, pada pagi 8 Mei lalu.

Pada Selasa, Najib menerusi hantaran di Facebooknya memaparkan video Dr Mahathir memasuki sebuah majlis tanpa mengimbas suhu dan aplikasi MySejahtera.

Beliau turut menyatakan bahawa telah dikenakan dua kompaun sebelum ini kerana terlupa mengimbas suhu dan MySejahtera ketika memasuki sebuah premis.

BACA: Dr Mahathir mengaku langgar SOP, sedia terima tindakan

Dalam pada itu, Dr Mahathir menerusi kenyataan pada hari ini, menyatakan telah dimaklumkan bahawa beliau telah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan tidak mengambil suhu badan apabila masuk ke surau tersebut.

Tegasnya, ianya merupakan satu kesalahan dan perkara sedemikian tidak harus berlaku.

Beliau turut meminta maaf kerana tidak mematuhi SOP dan bersedia untuk menerima tindakan mengikut undang-undang berkaitan.