KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menunaikan solat sunat Aidiladha di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, pada pagi Selasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementeriannya juga menjamin tindakan tegas terhadap pihak yang menganjurkan majlis di kawasan terbuka tersebut seperti dipaparkan dalam video tular berkenaan.

"Ketua Polis Pulau Pinang (Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain) juga diminta memberikan laporan serta penjelasan terperinci pada kadar segera berhubung penugasan anggota PDRM yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pematuhan SOP di lapangan, terutamanya semasa perayaan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

"Kita memberikan jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat menganjurkan majlis tersebut.

"Pada masa sama, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) turut diarahkan untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan pengusiran di bawah Akta Imigresen 1958/63 sekiranya ia membabitkan penglibatan warga asing," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: Polis kesan 200 warga asing langgar SOP solat sunat Aidiladha atas jalan

Terdahulu tular sebuah video di laman sosial Facebook berhubung ratusan individu dipercayai warga asing didakwa melanggar SOP dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang di Taman Pelangi, Juru, Pulau Pinang.

Rakaman dari sebuah kereta itu memaparkan sekumpulan lelaki yang dianggarkan mencecah ratusan orang sedang menunaikan solat di kawasan tempat letak kereta sehingga ke tepi jalan raya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah sudah memulakan siasatan terperinci terhadap video tular berkenaan.

Beliau turut meminta orang awam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan perkauman yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman awam sementara siasatan dimuktamadkan.